JELI: Pembinaan jambatan Bailey di jalan Jeli-Kuala Balah berhampiran Kampung Kubur Datuk di sini yang runtuh akibat banjir bermula hari ini.
Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik berkata, kerja-kerja pembinaan di bawah selian Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dijangka siap sepenuhnya pada 10 Januari ini.
Menurutnya, pembinaan jambatan sementara itu memberikan sedikit kelegaan dan kemudahan kepada penduduk setempat untuk melaksanakan urusan harian mereka yang terjejas sebelum ini akibat runtuhan.
“Pada masa sama, ia turut memberikan kemudahan kepada pengguna lain yang menggunakan laluan tersebut.
“Pembinaan ini melibatkan laluan sehala dan hanya dibuka kepada kenderaan ringan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zahari memberitahu, hanya sebuah kenderaan yang boleh menggunakan laluan tersebut dalam satu-satu sama secara bergilir-gilir.
“Ini merupakan langkah awal yang diambil sebelum kita menyelesaikan sepenuhnya masalah itu dengan melakukan penggantian pembetung secara kekal.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati pembetung sedia ada rosak dan menyebabkan berlaku mendapan di kawasan tersebut. Situasi itu membawa kepada berlaku runtuhan tanah di jalan tersebut,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penduduk dan pengguna jalan Jeli-Kuala Balah berhampiran Kampung Kubur Datuk di sini terputus hubungan selepas laluan yang menjadi nadi utama mereka runtuh.
Situasi itu menyebabkan lebih 2,000 pengguna terkandas dan terpaksa mencari alternatif lain. – UTUSAN










