Jalan lengang, perniagaan merosot sejak ada WCE

Jalan lengang, perniagaan merosot sejak ada WCE

PENDUDUK menunjukkan keadaan Jalan Persekutuan Hutan Melintang ke Sabak Bernam yang lengang berikutan pengguna memilih WCE. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Jalan persekutuan Hutan Melintang di sini ke Sabak Bernam, Selangor yang sebelum ini sibuk, kini lengang apabila pengguna memilih menggunakan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE).

WCE merupakan lebuh raya sepanjang 233 kilometer menghubungkan antara Banting, Selangor dan berakhir di Changkat Jering, Perak.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati lalu lintas di jalan persekutuan Hutan Melintang di sini ke Sabak Bernam berubah sama sekali apabila laluan itu lengang selepas WCE dibuka kepada pengguna.

Jika sebelum ini sentiasa sibuk, suasana sudah berubah dan peniaga mendakwa keadaan itu menjejaskan perniagaan mereka terutama jualan makanan apabila tidak banyak pelanggan singgah.

Seorang peniaga makanan di Simpang Empat di sini, M. Tharaa, 47, berkata, kerana kurang pelanggan, ada yang terpaksa menutup perniagaan.

“Saya sudah berniaga lebih tujuh tahun dan semakin hari semakin kurang pelanggan, jalan lama ke Sabak Bernam pun semakin sunyi.

“Hanya pada hujung minggu atau cuti perayaan, jalan lama ini agak ramai pengguna tapi kalau hari biasa, tak sesibuk dahulu,” katanya.

Menurutnya, pendapatan perniagaannya juga semakin merosot, namun dia tetap meneruskan perniagaan kerana masih mempunyai kontrak dengan kedai makan yang disewanya.

“Sekarang nak dapat RM200 sehari pun sudah, berbeza sebelum ini RM600 sehari.

“Kalau ikutkan memang saya nak tutup perniagaan ini tapi dengan sewa kedai RM700 sebulan, saya masih ada kontrak tiga tahun di premis ini, mana boleh tutup.

“Mahu tak mahu saya tetap terus berniaga, kadang kala sehingga malam tapi di sini pukul 8 malam suasananya sudah sunyi.

“Dahulu ada bas ekspres masuk ke sini sekarang hanya sesekali baru nampak, itu pun jumlah penumpangnya hanya beberapa orang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×