Isteri Daim dakwa pertuduhan bermotif balas dendam musuh politik

Isteri Daim dakwa pertuduhan bermotif balas dendam kepada musuh politik

NA'IMAH ABDUL KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Isteri Tun Dr. Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mendakwa, pertuduhan terhadap beliau bermotifkan dendam yang sebenarnya disasarkan kepada musuh politik yang sudah tidak lagi berkuasa.

Isteri bekas Menteri Kewangan itu mendakwa, jenayah yang sebenar menyasarkan tuduhan yang direka-reka sementara dakwaan rasuah melibatkan kroni politik digugurkan sehingga menimbulkan kemarahan seluruh negara.

Katanya, jenayah yang sebenar adalah memandulkan dan menyalah guna institusi utama negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam melunaskan dendam politik.

Beliau sempat menyindir Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kuasa itu singkat dan perhitungan sentiasa menunggu mereka yang menyalahgunakannya.

“Jenayah yang sebenar adalah perancangan rapi untuk mencemarkan nama baik suami saya serta melunaskan dendam politik terhadap beliau dan keluarga kami.

“Jenayah sebenar adalah berdendam dalam mengejar musuh politik lampau yang tidak berkuasa lagi, dengan tuduhan tidak berasas, ketika ekonomi terus terbantut, reformasi diabaikan dan negara merudum.

“Jenayah yang sebenar adalah menggunakan kuasa bagi tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat,” ujar beliau ketika membacakan kenyataan media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini selepas prosiding pendakwaan terhadapnya.

Terdahulu Na’imah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember tahun lalu.

Harta-harta itu melibatkan dua buah syarikat Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd. serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz. 

Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr. Ismail.

Dalam kenyataan itu, Na’imah berkata, berita bahawa beliau akan didakwa di mahkamah tersebar malam tadi dan pihaknya akan membuktikan bahawa jenayah itu tidak dilakukannya.

Beliau melahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih dengan sokongan orang ramai yang mana sebahagian besarnya tidak dikenali yang menunjukkan keprihatinan dan solidariti mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN