Israel kerah lima briged tentera keluar dari Gaza

Israel kerah lima briged tentera keluar dari Gaza

KERETA kebal tempur Israel diletakkan di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza dan selatan Israel di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan militan Hamas.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Sempena tahun baharu, Israel mengesahkan menarik beribu-ribu tenteranya keluar dari Gaza, satu langkah yang boleh membuka jalan untuk fasa jangka panjang dalam pertempuran intensiti rendah terhadap kumpulan Hamas.

Pengesahan penarikan tentera itu dibuat serentak dengan keputusan Mahkamah Agung Israel menolak undang-undang yang sangat dipertikaikan dan diluluskan oleh kerajaan sayap kanan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu iaitu menarik balik beberapa kuasa mahkamah tinggi dan mencetuskan bantahan rakyat selama berbulan-bulan di seluruh negara itu.

BERUNDUR BEBERAPA MINGGU AKAN DATANG

Malah, dalam perancangan pengunduran itu, lima briged, atau beberapa ribu tentera akan dibawa keluar dari Gaza dalam beberapa minggu akan datang.

Ada yang akan kembali ke pangkalan untuk latihan atau berehat manakala kalangan yang lebih tua akan pulang ke rumah.

Peperangan itu didapati menjejaskan ekonomi dengan menghalang anggota tentera simpanan daripada melaksanakan rutin pekerjaan mereka, menjalankan perniagaan atau kembali ke pengajian universiti.

FASA BAHARU PERANG

Ketua jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari tidak menyatakan sama ada pengunduran beberapa ribu tentera itu mencerminkan fasa baharu perang di Gaza.

“Objektif perang memerlukan pertempuran yang berpanjangan dan kami sedang bersiap sedia,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Hagari berkata, langkah pengunduran itu adalah selaras dengan rancangan yang digariskan oleh para pemimpin Israel untuk menjalankan kempen intensiti rendah yang dijangka berlangsung sepanjang tahun yang memfokuskan kepada baki kubu kuat Hamas.

Jelasnya lagi, mereka berada hampir dengan kawalan operasi ke atas sebahagian besar utara Gaza selain perlu mengurangkan keperluan meletakkan pasukan di sana.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken berulang kali menggesa Israel untuk berbuat lebih banyak perancangan untuk melindungi orang awam Palestin.

Pertempuran sengit berterusan di kawasan lain di wilayah Palestin terutamanya di selatan di mana banyak tentera Hamas kekal utuh dan di mana kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza melarikan diri.

IKRAR HANCURKAN HAMAS

Israel berikrar untuk menghancurkan keupayaan tentera dan pemerintahan Hamas dalam perang yang sedang berlaku yang dicetuskan oleh serangan kumpulan militan pada 7 Oktober lalu ke atas Israel selatan di mana 1,200 orang terbunuh dan 240 yang lain dijadikan tebusan.

Rejim Zionis itu bertindak balas dengan serangan udara, darat dan laut yang membunuh lebih daripada 21,900 orang di Gaza, dua pertiga daripadanya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah yang diperintah Hamas.

Tentera Israel berkata 173 askar mereka terkorban sejak ia melancarkan operasi daratnya.

Israel juga berkata, tanpa memberikan bukti, lebih 8,000 tentera terbunuh. Ia menyalahkan Hamas atas angka kematian orang awam yang tinggi, dengan mengatakan militan itu memasuki kawasan perumahan, termasuk sekolah dan hospital.

Ahli-ahli politik di negara itu juga memberi amaran supaya Israel tidak menyalakan semula perpecahan dalam negara dan merosakkan perpaduan nasional yang berlaku sepanjang perang Israel-Hamas.

Netanyahu dikatakan berikrar untuk meneruskan serangan tentera sehingga Hamas dihancurkan dan lebih 100 tebusan yang masih ditahan oleh kumpulan tentera itu di Gaza dibebaskan.

Israel mengalami tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk mengurangkan serangan yang menyebabkan kematian hampir 22,000 rakyat Palestin. -REUTERS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN