PETALING JAYA: Skor diperoleh negara ini dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 meningkat kepada 50 mata sekali gus meletakkan Malaysia di ranking ke-57 daripada 180 negara seluruh dunia.
Berbanding tahun sebelumnya, Malaysia di kedudukan 61 dan skor diperoleh merekodkan penurunan untuk tiga tahun berturut-turut.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan berkata, CPI 2023 menggunakan 13 tinjauan dan penilaian pakar bagi mengukur tahap persepsi rasuah sektor awam membabitkan 180 negara dan wilayah seluruh dunia.
Menurutnya, pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan skor diperoleh Malaysia antaranya disebabkan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam mendakwa dua bekas Perdana Menteri dalam kes membabitkan rasuah.
“Sabitan bekas Perdana Menteri dalam kes rasuah membabitkan SRC International menunjukkan kebebasan kehakiman di Malaysia.
“Pada masa sama, turut berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan skor tersebut adalah kerana kedudukan Malaysia meningkat dalam Indeks Demokratik oleh Unit Perisikan Ekonomi pada 2022.
“Selain itu, walaupun wujud ketidakstabilan politik, penyertaan pengundi lebih tinggi disebabkan oleh Undi 18 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga menyumbang kepada peningkatan skor tersebut.
“Antara faktor lain yang turut menyumbang adalah proses peralihan kuasa yang lancar selepas PRU14 dan PRU15. Ia membuktikan bahawa prinsip demokrasi masih wujud dan dihormati di negara ini,” katanya ketika mengumumkan CPI 2023 di sini, semalam.
Berdasarkan laporan dikeluarkan, Malaysia berada pada kedudukan kedua antara sembilan negara ASEAN di belakang Singapura yang memperoleh skor 83 mata.
Malaysia juga berada pada tangga keempat terbaik antara negara Islam lain dengan kedudukan teratas masih dipegang oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Arab Saudi.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, terdapat beberapa indikator positif selepas kerajaan perpaduan berjaya ditubuhkan yang memberi persepsi baik kepada CPI negara antaranya arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperbaiki tatakelola urus tadbir negara.
“Siasatan terhadap kekayaan bekas ahli politik yang tidak didedahkan dan penetapan sasaran skor CPI kebangsaan dalam 10 tahun akan datang untuk mencapai kedudukan ke-25 di peringkat global.
“Ia secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa Malaysia serius untuk menangani isu-isu rasuah di negara, ini,” katanya. – UTUSAN










