Hanya yang berhak layak nikmati bantuan

Hanya yang berhak layak nikmati bantuan

Anwar Ibrahim merasmikan gimik pelancaran Pengkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua bantuan kerajaan termasuk subsidi akan dipastikan hanya diterima oleh mereka yang berhak bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran dana negara.

Langkah itu hanya dapat direalisasikan melalui penggunaan data sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Perdana Menteri berkata, menerusi PADU, setiap ketirisan dalam penyaluran bantuan dan subsidi dapat dielakkan.

Katanya, pembangunan sistem pangkalan data negara itu dilihat memberi manfaat secara menyeluruh.

“Tanpa PADU terlalu banyak ketirisan, kebocoran dan penipuan. Kalau tidak, tidak ada sebab masih ada kelompok miskin dalam negara.

“Penyaluran subsidi tanpa pendekatan digital hanya menyebabkan golongan maha kaya dan warga asing mendapat manfaatnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di sini, semalam.

Subsidi diberi kerajaan ketika ini mencecah RM80 bilion dan tidak mungkin Malaysia dapat bertahan mengurus kewangan belanjawan negara jika hal ini tidak diperbaiki.

Sementara itu, Anwar berkata, keupayaan membina PADU jelas menunjukkan jentera kerajaan mampu melaksanakan perkara baharu tanpa bergantung kepada konsultan antarabangsa yang melibatkan kos tinggi.

Menurutnya, beliau mahu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuli Ali memantau pelaksanaan sistem PADU agar ia mencapai matlamat yang diidamkan.

“PADU penting kerana ia menjamin saluran susbidi sampai dan ia juga menunjukkan keupayaan dan penyertaan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Jelas Anwar lagi, seluruh jentera kerajaan diingatkan untuk tidak meninggalkan ma­syarakat miskin bandar, pedalaman dan desa ketika melaksanakan transformasi digital khususnya melibatkan PADU.

“Kaedah PADU memaksa setiap warga negara faham tentang transformasi digital dan guna sistem PADU dan ia menunjukkan ada kecelikan budaya dan digital,” katanya.

PADU dibuka untuk pendaftaran dan kemaskini bermula semalam sehingga 31 Mac ini.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan menyasarkan defisit fiskal antara 3 hingga 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025 disokong pelaksa­naan PADU.

Beliau berkata, PADU dilihat mampu mengoptimumkan sumber dan mengukuhkan kemampanan fiskal negara.

“Insya-Allah, sekiranya PADU berjalan lancar, ia akan dapat membantu mencapai sasaran defisit fiskal di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (KSP RMK12) antara 3.5 hingga 3 peratus kepada KDNK pada tahun 2025,” katanya.

Justeru, katanya, inisiatif (PADU) ini antara keutamaan kerajaan dalam memastikan manfaat limpahan ekonomi dapat dirasai secara adil dan saksama oleh segenap lapisan rakyat.

Pada masa sama, Rafizi berkata, PADU akan dapat membantu kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dan mengelakkan keciciran berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.

Menurutnya, kaedah pengu­kuran ini mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.

“Pendekatan ini juga membolehkan kerajaan beralih daripada konsep B40, M40 dan T20 tetapi lebih melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, PADU juga akan menyediakan data lebih selamat, komprehensif dan bersifat semasa.

“Ia bukan ada data tahun ini, 10 tahun orang itu dah mati masih pakai data itu. Apabila berlaku perubahan dalam satu pangkalan data dalam satu agensi, ia akan terus dikemaskini dalam pangkalan data utama (PADU).

“Kami juga mahu agensi lain juga sentiasa mempunyai data yang terkini setiap isi rakyat dan rumah. Ini sekali gus membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan,” katanya.

Bagi menjamin keselamatan siber susulan kewujudan PADU itu, Rafizi berkata, satu prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif telah diwujudkan bagi memastikan pengendalian data yang selamat.

“Di samping itu, kerjasama strategik turut diadakan antara Agensi Keselamatan Siber Negara, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah kebocoran data serta memastikan perlindungan data peribadi.

“Kerajaan juga turut melantik kumpulan pakar bebas yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang yang berperanan sebagai semak dan imbang dalam memastikan pembangunan PADU memiliki ciri-ciri keselamatan yang terkini dan terbaik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN