Hakisan Pantai Teluk Bayu semakin membimbangkan

Hakisan Pantai Teluk Bayu semakin membimbangkan

KEADAAN jalan yang runtuh berdekatan gerai peniaga akibat hakisan di Pantai Teluk Bayu, di Kampung Pachakan, Besut, semalam. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Teluk Bayu, Kampung Pachakan di sini pada musim tengkujuh ini semakin meruncing dan membimbangkan penduduk berdekatan.

Azlieya Rosli, 30, berkata, kejadian hakisan pantai itu telah menyebabkan jalan raya sejauh kira-kira dua kilometer yang menjadi laluan pesisir pantai itu mulai runtuh, baru-baru ini.

Menurutnya, situasi itu menyukarkan pelanggan untuk ke gerai-gerai ikan celup tepung yang terletak di sepanjang pantai Teluk Bayu.

“Sebelum ini bilangan gerai yang dibuka di kawasan ini sekitar enam buah tetapi sejak kawasan ini semakin teruk dan laluan pun rosak hanya tinggal dua kedai sahaja yang masih bertahan.

“Kami bukan hanya berdepan risiko kerosakan harta benda malah pendapatan turut terjejas dimana untuk memperolehi RM100 sehari agak sukar berbanding sebelum ini mampu mencecah RM2,000 ketika hujung minggu,” katanya ketika ditemui di Kampung Pachakan, di sini, semalam.

Menurut Azlieya, hakisan itu dikatakan telah berlaku sejak dua tahun lalu dan ia semakin parah akibat ombak besar pada musim tengkujuh Disember tahun lepas.

Katanya, pantai itu sebelum ini turut menjadi tumpuan pelancong serta orang ramai beriadah dan menjamu selera, namun keadaan pantai itu semakin terhakis selepas dibadai ombak dan angin kencang.

“Sebelum ini hakisan memang ada tapi tak seteruk sekarang kerana orang ramai masih boleh bersantai di tepi pantai dan kami peniaga boleh meletak meja dan kerusi untuk pelanggan berdekatan dengan pantai.

“Malah, fenomena air pasang besar yang melanda pantai itu baru-baru ini juga menyebab kerusi dan meja yang diletakkan berdekatan pantai dihanyutkan sehingga saya terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN