PETALING JAYA: Bangunan premis Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk arked dan bazarnya dilihat lebih sesuai jika diberikan kepada golongan muda untuk menyuntik elemen baharu selain merancakkan semula ekonomi tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Mohammad Fadzli Hassan berkata, adalah sangat wajar sekiranya mana-mana premis kedai Mara yang kosong diberikan nafas baharu oleh golongan anak muda untuk merubah wajah melalui konsep mengikut selera golongan itu.
“Sangat wajar diberikan kepada anak muda tempatan kerana Mara merupakan agensi kerajaan yang membantu orang Melayu,” katanya di sini semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon, pihaknya bersedia untuk berunding dengan Mara bagi membangunkan semula premis-premis berkenaan diberi daya tarikan baharu.
Tambah Fadzli, sekiranya golongan muda diberikan peluang berniaga, mereka memerlukan konsep baharu untuk ditampilkan pada premis perniagaan bagi menarik golongan muda.
Mengulas lanjut beliau berkata, golongan muda yang berniaga di bawah Mara juga akan mendapat bantuan bagi memulakan perniagaan untuk memperluas dan mengembang perniagaan di peringkat lain.
“Agensi perniagaan yang lain juga boleh membantu mereka ini untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff Harun turut senada dan berpandangan, adalah wajar kekosongan premis itu diisi segera oleh generasi muda.
Jelasnya, MBM sedang merangka usaha membantu generasi muda untuk mendapatkan semula pekerjaan dan membantu mereka supaya mereka tidak terkesan dengan isu kesihatan mental.
Tambahnya, anak muda boleh melakukan pembaharuan seperti pembukaan kedai kopi yang menjadi trend golongan muda sekali gus menaikkan semula premis kosong berkenaan.
Selain itu, katanya, kerajaan juga seharusnya menyediakan inisiatif kepada peniaga khususnya yang berniaga di bangunan Mara dengan menyediakan kadar sewa berpatutan dan geran untuk memulakan perniagaan.
“Sekiranya kerajaan boleh menyediakan bantuan seperti ini kepada golongan muda untuk berniaga dan mengembangkan perniagaan mereka, saya percaya ia boleh menarik minat lebih ramai anak muda berniaga secara fizikal di premis Mara,” katanya. – UTUSAN










