Dua nakhoda dalam tanah rancangan Felda?

Dua nakhoda dalam tanah rancangan Felda?

Penduduk mendakwa keputusan Felda mewujudkan kembali JKKR di 317 tanah rancangan seluruh negara akan menimbulkan polemik dalam kalangan warganya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Keputusan Felda untuk mewujudkan kembali Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di 317 tanah rancangan seluruh negara menimbulkan polemik dalam kalangan war­ganya.

Ini kerana kebanyakan tanah rancangan sudah menyelesaikan hutang bayaran pemba­ngunan dan mendapat surat hak milik tanah serta sudah pun menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Apa dibimbangi mereka, penubuhan kembali JKKR di samping JKKK bagi mentadbir kampung akan mewujudkan pertentangan pendapat seperti ‘kapal dua nakhoda’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 66, berkata, tiada jaminan pengurusan dan pentadbiran kampung dalam rancangan lebih baik walaupun memiliki dua badan tertinggi di peringkat rancangan.

“Felda sepatutnya akur dengan kerajaan negeri yang mahukan JPKK mentadbir kawasan tanah rancangan Felda yang sudah pun menerima suratan hak milik tanah. Ini selari dengan perjanjian awal,” katanya di sini semalam.

Ketua Kampung Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman, 69, pula berkata, kepimpinan JPKK tidak ada masalah mentadbir rancangan kerana adanya kerjasama semua pihak.

“Felda tidak perlulah tubuh JKKR di rancangan yang sudah ada JPKK bagi mengelakkan konflik kepimpinan. Bagaimanapun kerajaan negeri dan Felda perlu capai resolusi terbaik.

“Kita bimbang JPKK yang lebih banyak di Felda ‘ditelan’ oleh JKKR yang dipimpin kebanyakan orang baharu dalam kalangan warga Felda,” kata­nya.

Dalam konteks Pahang yang mempunyai 115 tanah ranca­ngan Felda, majoritinya ditadbir oleh JPKK diketuai seorang ketua kampung yang dilantik kerajaan negeri.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pentadbiran di 317 kawasan tanah rancangan Felda seluruh negara kembali kepada asal di­terajui oleh JKKR.

Menurutnya, kewujudan semula JKKR melibatkan sesi libat urus bersama kepimpinan Wilayah Felda dan ibu pejabat Felda serta tanah rancangan dalam membantu menyelesaikan hal berkaitan perladangan, kebajikan dan lain-lain isu pe­neroka.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Rosdy Wan Ismail berpendirian pengurusan dan pentadbiran di tanah rancangan Felda hanya seorang ketua sahaja.

“Kita mahukan pengurusan di rancangan Felda dapat dilaksanakan dengan baik dan kalau ada dua kepala sudah tentu payah untuk mengurus,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN