Demi tugas, guru SK Buayan cekal berjalan kaki empat

Demi tugas, guru cekal berjalan kaki empat jam redah tanah merah

LALUAN dari Kampung Buayan ke Pekan Donggongon, Penampang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Berjalan kaki meredah jalan tanah merah yang berbukit bukau selama empat jam bagi menghadiri mesyuarat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bukan sesuatu yang asing bagi guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, di sini.

Mengajar di sekolah yang terletak kira-kira 55 kilometer dari Pekan Donggongon dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda itu membuatkan guru-guru sekolah itu cekal mengharungi laluan yang mencabar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zeabenia Mositol, 50, berkata, sepanjang mengajar hampir 30 tahun di sekolah itu, beliau sudah biasa berjalan kaki jika ada mesyuarat tidak dijangka yang dimaklumkan pada saat-saat akhir.

Namun, ada kalanya beliau akan menumpang kenderaan yang kebetulan hendak keluar ke pekan dengan kadar tambang RM60 untuk pergi dan balik.

“Tiga minggu lalu pun saya berjalan kaki dari Kampung Bua­yan sehingga ke jalan berturap kerana perlu menghadiri mesyuarat di PPD. Dari luar, barulah saya menaiki kenderaan untuk ke Pekan Donggongon.

“Saya hanya keluar apabila ada keperluan seperti ada mesyuarat. Memandangkan saya tiada ken­deraan, apabila ada mesyuarat tidak dijangka dan tiada ken­deraan maka, saya akan berjalan kaki selama empat jam sehingga ke hujung di jalan berturap,” katanya.

Katanya, beliau mula mengajar di sekolah yang dikategorikan sekolah kurang murid (SKM) itu pada tahun 1995. Memandangkan beliau anak jati kampung tersebut maka, permohonannya untuk pindah mengajar di sekolah lain tidak diluluskan.

Berkongsi cabaran mengajar di sekolah luar bandar, Zeabenia berkata, ada sebahagian murid yang sukar untuk menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira) biarpun sudah tahun empat. Jadi, ia memerlukan kesabaran guru dalam mengajar.

Katanya, ada antara anak-anak kampung di situ tidak menyambung persekolahan ke sekolah menengah kerana kekangan kewangan. Tapi, guru-guru akan cuba bantu apa yang termampu dan pujuk ibu bapa supaya hantar anak ke sekolah menengah.

Sementara itu, guru yang berasal dari Kota Belud, Frankie Colling Kulam, 42, berkata, nasib baik sekolah itu dilengkapi dengan asrama desa maka, tiada isu murid tidak hadir ke sekolah ke­rana ada antara murid yang perlu berjalan kaki selama dua jam untuk sampai ke sekolah.

Katanya, cabaran terbesar mengajar di SK Buayan itu adalah akses jalan raya yang masih lagi laluan tanah merah. Apabila musim hujan, laluan menjadi licin dan berlumpur maka, keadaan lebih mencabar biarpun menaiki kenderaan pacuan empat roda.

“Orang kampung berhadapan kesukaran untuk membawa keluar hasil pertanian mereka ke pekan kerana perjalanan yang mencabar. Jadi, kami berharap jika ada peruntukan, jalan ma­suk ke kampung ini dapat diperbaiki dan dinaik taraf ke jalan berturap,” katanya.

Menurutnya, kesemua guru yang datang dari daerah lain akan tinggal di kuarters guru dan ha­nya keluar pada hujung minggu.

“Saya memilih untuk mengajar di sini kerana ada isu kekurangan guru. Kita perlu bantu mendidik anak-anak di kawasan luar bandar ini agar berjaya dalam pelajaran. Di samping itu, mengajar di bandar agak stres kerana jumlah pelajar yang terlalu ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN