Pemandu mengantuk disyaki punca lori ayam rempuh treler parkir tepi jalan

Pemandu mengantuk disyaki punca lori ayam rempuh treler parkir tepi jalan

KEADAAN lori ayam yang remuk selepas terlibat kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat di sini, Tanah Merah, Kelantan awal pagi tadi.-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Kemalangan yang mengorbankan tiga lelaki yang menaiki sebuah lori membawa muatan ayam dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan tersebut mengantuk sebelum terbabas merempuh treler diparkir di tepi jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Batu 6 di sini hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 4 pagi itu, pemandu lori, Mohammad Zakwan Mohd. Nor, 25, bersama pemandu kedua, Norazeman Abdul Aziz, 42, dan kelindan, Mohd. Haikal Hanifah, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kenderaan tersebut. 

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati, lori dinaiki ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah. 

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu lori itu dipercayai mengantuk sebelum kenderaan dipandu terbabas merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit di dalam lori berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Anggota bomba mengeluarkan mayat kesemua lelaki itu sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang pemandu dan dua kelindan maut selepas lori lima tan membawa bekalan ayam yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di Lebuhraya Timur-Barat di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.26 pagi itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di dalam kenderaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN