Che Adam teruskan misi solo 'Derma Darah Tanpa Sempadan' - Utusan Malaysia

Che Adam teruskan misi solo ‘Derma Darah Tanpa Sempadan’

CHE Adam A Rahman menerima sijil sijil pengesahan misi solo 'Derma Darah Tanpa Sempadan' daripada Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HSNZ, Dr. Muhaimin Kambali di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Misi solo ‘Derma Darah Tanpa Sempadan’ oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman diteruskan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Misi tersebut yang dimulakan pada 1 September lalu akan dilaksanakan di 16 lokasi di seluruh Malaysia dan dijangka tercapai sepenuhnya pada tahun 2025 atau 2026.

Che Adam berkata, program menderma darah di HSNZ hari ini adalah bertujuan melengkapkan lokasi di Zon Pantai Timur setelah dilakukan di Kuantan, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan tahun lalu.

“Saya akan meneruskan misi ini secara konsisten, dari satu lokasi ke lokasi lain, di semua 16 hospital utama di setiap negeri secara solo dan berharap misi ini akan menjadi suntikan motivasi untuk individu lain turut tampil menderma darah.

“Ini adalah satu lagi rekod peribadi saya dalam menginfaq darah yang belum pernah dilaksanakan di Malaysia.

“Tujuan saya juga adalah untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam strategi promosi derma darah secara berterusan kepada masyarakat terutamanya golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menderma darah di HSNZ
di sini, hari ini.

Beliau yang telah menderma darah kali ke-93 berkata, misi tersebut juga bertujuan mengubah persepsi negatif terhadap program menderma darah yang masih ada dalam kalangan masyarakat.

“Ada yang beri alasan takut kesihatan terjejas dan selera makan menjadi semakin membuak-buak sedangkan perkara itu tidak betul.

“Saya menyarankan orang ramai terutama mereka yang baru kali pertama menderma darah agar sentiasa mendengar nasihat doktor dalam menjaga kesihatan mereka dengan lebih baik.

“Semoga usaha kita semua dapat membantu Unit Tabung Darah di seluruh Malaysia memperbanyakkan stok bekalan darah untuk membantu ramai pesakit yang memerlukan seperti mereka yang kemalangan, talasemia, anemia dan wanita yang tumpah darah selepas bersalin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya