LA PAZ: Keadaan di ibu negara La Paz dilaporkan kembali tenang namun berada dalam situasi yang tegang pada malam Isnin, selepas bandar raya itu goyah dengan pertempuran ganas antara pihak polis dan penunjuk perasaan di sepanjang waktu siang.
Gaji bulanan presiden itu kini ditetapkan sekitar 24,000 boliviano (RM13,790).
Ketegangan tetap berlanjutan biarpun Presiden Bolivia, Rodrigo Paz telah menawarkan untuk memotong separuh daripada gajinya demi menamatkan siri demonstrasi berkenaan.
Walaupun pergolakan di jalanan mula reda, tiada sebarang tanda yang menunjukkan kumpulan penunjuk perasaan bersedia untuk bersurai, sekali gus memberi bayangan bahawa aksi protes skala besar akan terus berlarutan sepanjang minggu ini.
Kumpulan penunjuk perasaan bertindak menyekat laluan utama ke La Paz selama hampir sebulan sehingga mencetuskan krisis kekurangan bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang meruncing di ibu negara.
Paz yang merupakan pemimpin haluan kanan sokongan Amerika Syarikat (AS), telah melakukan pelbagai usaha murni bagi meredakan pemberontakan rakyat yang meletus ketika pentadbirannya baru sahaja memasuki tempoh enam bulan.
Pada Isnin, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva yang merupakan sekutu tradisi kepada bekas presiden sosialis Bolivia, Evo Morales telah mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon bersama Paz. Berdasarkan kenyataan rasmi pejabat Presiden Brazil, Lula menzahirkan solidariti penuh beliau terhadap kerajaan dan seluruh rakyat Bolivia.
Lula yang juga salah seorang pemimpin haluan kiri paling berpengaruh di Amerika Latin menggesa kedua-dua pihak agar mengutamakan saluran dialog bagi mengatasi perbezaan pendapat, selain bersetuju untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke negara terbabit.
Langkah berkenaan menyusul selepas AS dan Argentina turut menawarkan bantuan serupa bagi menangani isu keputusan bekalan sejak beberapa minggu kebelakangan ini. – AFP










