Cabaran ibu bapa besarkan anak autisme

Cabaran ibu bapa besarkan anak autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu daripada 100 kanak-kanak di seluruh dunia termasuk Malaysia mengalami autisme berdasarkan data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun lalu.

Bagaimanapun Malaysia tidak mempunyai data khusus autisme meskipun menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 31 Januari 2023, terdapat 235,731 individu mempunyai ketidakupayaan pembelajaran yang merangkumi autisme, sindrom down dan gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD).

Bagaimanapun Dewan Rakyat pada 2022 pernah dimaklumkan bahawa jumlah kanak-kanak didiagnosis autisme meningkat lima peratus pada 2021 berbanding 562 orang pada 2020 kepada 589 individu, malah ketika 2010 hanya 99 kanak-kanak.

Keadaan itu menuntut masyarakat tidak memandang serong kepada autisme kerana masih wujud stigma dalam kalangan rakyat meskipun kesedaran masyarakat terhadap keperluan dan keadaan individu mengalami perkara tersebut yang dilihat agak memuaskan.

Apatah lagi akses pendidikan dan rawatan perlu diberikan perhatian kerajaan kerana keluarga golongan B40 dan M40 menghadapi beban kewangan apabila memerlukan kos secara purata RM2,000 dan RM 2,500 sebulan kerana perlu menghantar anak-anak istimewa ini ke institusi terapi dan pendidikan swasta.

Daripada aspek perubatan, autisme merujuk kepada keadaan di mana seseorang mengalami gangguan neurologi otak yang mempengaruhi perkembangan pemikiran mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin berkata, masih terdapat banyak ruang untuk membela dan memperbaiki nasib golongan autisme bukan sahaja dari segi soal kesedaran, tetapi merangkumi akses pendidikan dan kebajikan yang perlu dipertingkatkan khususnya insentif kewangan melibatkan ibu bapa B40 dan M40.

Beliau menjelaskan, stigma dan malu kini bukan lagi menjadi masalah besar sebaliknya masalah kewangan dan akses rawatan merupakan faktor untuk ibu bapa membawa anak-anak tampil ke hadapan bagi diberikan rawatan dan terapi.

“Tanggungjawab ini berat kepada ibu bapa. Selain itu, tiada pusat jagaan autisme selepas anak-anak habis persekolahan, maka ibu bapa yang perlu menggalas tugas ini. Ada yang sanggup berhenti kerja, akhirnya ibu atau bapa hilang punca rezeki.

“Selain itu, akses pemulihan dan rehabilitasi terhad memandangkan hospital kerajaan sudah padat dan tinggal swasta. Jadi mereka yang menjalani rawatan di hospital swasta perlu dikecualikan bayaran dan ini perlu dipertimbangkan kerajaan,” katanya.

Pada masa kini, kanak-kanak autisme diberikan kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka menerima kelebihan tentu antaranya menikmati tambang percuma bagi semua perkhidmatan kenderaan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mulai 1 Februari ini dan tidak dikenakan bayaran ketika membuat kad pengenalan dan bil pendaftaran serta rawatan perubatan percuma di hospital kerajaan dan klinik kesihatan kerajaan.

Autisme telah diklasifikasi di bawah masalah pembelajaran yang merupakan salah satu tujuh jenis OKU selain lembam, sindrom down, kurang upaya intelektual, autisme, masalah pembelajaran spesifik dan lewat perkembangan global.

Mengulas lanjut, Megat Ahmad Shahrani berkata, autisme perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan kerana mereka mempunyai peluang lebih besar untuk hidup berdikari sekiranya diberikan rawatan terapi secepat mungkin.

Dalam pada itu beliau turut menggesa masyarakat tidak terus menghukum dan mencetuskan stigma kepada austime walaupun kesedaran kini sudah mulai berubah berbanding 30 tahun lalu setelah mengambil beberapa contoh kes dan kejadian yang menimpa golongan itu sejak kebelakangan ini.

Lebih menyedihkan katanya, terdapat kanak-kanak autisme dimasukkan ke tahanan lokap setelah didakwa mencetuskan gangguan tanpa menyemak terlebih dahulu masalah dihadapi mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN