Beri kuasa penuh kepada universiti - PM

Beri kuasa penuh kepada universiti- PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diarahkan memberi kuasa penuh kepada universiti awam supaya dapat membuat keputusan sendiri dalam menentukan keutamaan masing-masing.

Langkah itu juga bagi mengelakkan birokrasi selain membolehkan prestasi universiti awam berkembang serta menyumbang kepada pendidikan masa hadapan.

“Saya sebelum ini sudah mengarahkan KPT memberi universiti awam ruang untuk menentukan keutamaan masing-masing. Justeru, sistem lama dan amalan birokrasi di mana kementerian membuat keputusan bagi pihak universiti mesti diakhiri sekarang.

“Perkara ini dibangkitkan kerana ia memerlukan tindakan segera, selain menyedari yang kita akan tertinggal dalam beberapa bidang jika selesa dengan amalan sedia ada,” tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Wacana Pemikir Global 2024 di Universiti Malaya, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan pada minggu lalu dilaporkan berkata, kepimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberi ruang dan kelonggaran untuk mewujudkan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan IPT negara mampu bersaing dengan lebih baik di peringkat serantau dan dunia sekali gus melahirkan mahasiswa berdisiplin serta berkualiti tinggi.

“KPT hanya harus selaraskan (program) bagi mengelakkan apa-apa pertindihan atau permasalahan, tapi beri lebih banyak ruang kepada universiti, lihat lebih banyak program yang lebih baik, kalau tidak kita ubah kepimpinan (IPT),” katanya.

Sementara itu, Anwar turut menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula pelaksanaan sistem prasekolah bagi memastikan jurang antara kawasan pedalaman, desa dan kota tidak melebar.

Jelasnya, tahun ini, dengan peruntukan terbesar diberi kepada KPM, kerajaan mahu kemudahan prasekolah ditambah untuk semua sekolah di seluruh negara.

“Gesaan saya dalam tempoh singkat, pastikan tahun ini kita menyediakan kemudahan tambahan supaya peluang prasekolah dikendalikan KPM diberikan kepada semua pelajar.

“Dalam belanjawan Madani, bidang pendidikan mendapat peruntukan terbesar, sebab itu sekali lagi kita gunakan peruntukan itu untuk keperluan asas.

“Tahun lalu, kita peruntukkan RM1 bilion hanya untuk membaiki tandas, yang mana seba­nyak 8,600 tandas daif dikesan di sekolah,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sebelum fokus kepada usaha mengangkat pendidikan tinggi diutamakan, perkara asas dan pendidikan rendah juga perlu diberikan perhatian.

Dalam masa sama, beliau memohon dokongan daripada seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong usahanya dalam menambahbaik tatakelola dan memerangi rasuah di negara ini.

Menyedari isu tatakelola dan rasuah yang kerap kali dibangkitkan mengundang rasa tidak senang oleh sesetengah pihak, Perdana Menteri berkata, usaha tersebut bukan hanya dipikul orang politik sahaja bahkan seluruh sistem di tanah air.

Menurut beliau, kecurian berbilion ringgit duit milik rakyat tidak boleh dianggap perkara biasa sebaliknya pandangan yang disifatkannya sebagai hambar dan haprak itu perlu diperangi.

“Memang (isu) tatakelola (dan) rasuah dibenci oleh beberapa pihak tetapi mereka lupa sebab rasuah dan tatakelolalah (kerajaan) tidak dapat bagi peruntukan begitu besar kepada sektor pendidikan.

“Disebabkan isu tatakelolalah hampir 8,000 tandas (di sekolah seluruh negara) harus diperbaiki tahun lalu dan sebab isu tatakelolalah puluhan bilion wang rakyat dipunggah kepada beberapa tokoh tertentu.

“Jika tidak ada sokongan dalam politik dan lain-lain, sekurang-kurangnya dalam isu tatakelola dan tuntutan ke arah perubahan, saya pohon dukungan penuh daripada rakyat terutamanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN