Bekas kapten dituduh pecah amanah seleweng diesel - Utusan Malaysia

Bekas kapten dituduh pecah amanah seleweng diesel

AZLI Mohd. Noor (tengah) yang dituduh pecah amanah dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pecah amanah dengan menyeleweng 61,000 liter minyak diesel bernilai hampir RM100,000 pada tahun lalu.

Tertuduh, Azli Mohd. Noor, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh selaku yang diamanahkan menjaga kapal didakwa melakukan pecah amanah dengan menyeleweng 26,000 liter minyak diesel dan menyebabkan kerugian RM41,600.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh pada 12 Februari 2023 di sekitar perairan Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa mengulangi kesalahan itu pada 20 dan 25 Februari tahun sama di lokasi sama melibatkan 20,000 dan 15,000 lagi liter minyak diesel dengan kerugian berjumlah RM32,000 dan RM24,000.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara satu hingga 14 tahun dan sebat serta denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan (KK).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 21 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili Che Amir Che Musa.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, seorang peniaga, Teo Kok Chye, 52, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengambil dan menjual minyak diesel yang diseleweng itu.

Tertuduh didakwa memindahkan harta curi iaitu mengambil dan menjual 61,000 liter minyak diesel itu dari sebuah kapal yang diketahui sebagai harta curi pada Februari 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 21 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Anisha De Silva. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya