Bekas kakitangan Perkeso didenda RM70,000 - Utusan Malaysia

Bekas kakitangan Perkeso didenda RM70,000

Perkeso
DHINNESH Shanmugam menghadapi pertuduhannya menerima rasuah sebanyak RM76,000 kerana meluluskan permohonan skim Penjana 3.0 dekat Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Alasan seorang bekas kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima wang RM38,000 sebagai saguhati selepas meluluskan permohonan skim Penjana 3.0 sebuah syarikat tidak memihak kepadanya apabila didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Dhinnesh Shanmugam dijatuhkan hukuman tersebut atau 24 bulan penjara jika gagal membayarnya selepas mengaku salah atas dua pertuduhan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Peguam mewakili tertuduh, Kathan Maruthamutu dalam mitgasinya berkata, pemilik syarikat tersebut berasa gembira selepas permohonan skim Penjana 3.0 kali pertama mereka diluluskan Perkeso.

“Tertuduh tidak pernah meminta apa-apa sogokan daripada mana-mana pihak termasuk syarikat berkenaan. Yang arif, pada April 2022, pemohon daripada syarikat tersebut berasa gembira dengan kelulusan tersebut dan memberi saguhati tersebut dengan ikhlas.

“OKT (tertuduh) menerima wang tunai tersebut. Untuk makluman yang arif juga, OKT tidak mengenali serta tidak pernah bertemu atau berhubung dengan wakil (pengarah) syarikat tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin kemudian memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran terhadap Dhinnesh dan masyarakat.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa menerima wang tunai keseluruhan RM38,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan meluluskan permohonan Penjana 3.0 daripada sebuah syarikat.

Perbuatan tersebut dilakukan dekat sebuah restoran sekitar Dengkil dan Cyberjaya antara 6 dan 15 April 2022.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan. 

Berdasarkan fakta kes, Dhinnesh, 29, yang kini bekerja sebagai pembantu kedai runcit dituduh menerima wang tunai keseluruhan sebanyak RM76,000 daripada pengarah syarikat itu menerusi empat kali transaksi antara 6 April hingga 29 April 2022.

Wang tersebut diberikan kepada tertuduh selepas dia meluluskan permohonan skim Penjana 3.0 syarikat terbabit untuk kali kedua bagi 125 orang pekerja pada 24 Disember 2021 sedangkan permohonan itu ditolaknya pada Mac 2022.

OKT membuat pengesahan secara rawak untuk beberapa orang pekerja syarikat itu dengan menghubungi mereka dan mendapati tidak bukan pekerja syarikat terbabit. Oleh itu OKT menolak permohonan tersebut.

Pengarah syarikat kemudian mendapatkan bantuan OKT melalui rakan kenalannya dalam media sosial untuk meluluskan permohonan berkenaan. Hasil rundingan di antara mereka, KKT bersetuju membantu dengan meluluskan permohonan kedua tersebut yang berjumlah RM1.15 juta tidak termasuk insentif mobiliti.

Hasil perbincangan itu juga, rakan OKT menawarkan 10 peratus iaitu berjumlah RM19,000 hasil daripada pembayaran Perkeso (Penjana 3.0) kepada syarikat berkenaan berjumlah RM189,020 setiap enam bulan bagi permohonan 124 orang pekerja.

OKT bersetuju dengan tawaran dan akan membantu mempercepatkan bayaran kepada syarikat berkenaan.

Hasil penerimaan wang rasuah tersebut, Dhinnesh menggunakan dan melupuskan wang tersebut bagi tujuan kegunaan peribadi. Terdapat baki RM20,000 tunai disita daripada OKT.

Hakim kemudian menetapkan hukuman denda kepada tertuduh dan mengarahkan baki wang sebanyak RM20,000 dilucuthakkan kepada kerajaan melalui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya