Banjir: Terengganu tutup tujuh sekolah

Banjir: Terengganu tutup tujuh sekolah

PENDUDUK, Lee Keng Ge melihat paras air di hadapan rumahnya selepas hujan lebat di Lorong Gemia, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak tujuh sekolah di dua daerah di Terengganu terpaksa ditutup dan diberi cuti bencana setelah dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, daripada jumlah itu, enam sekolah terletak di daerah Kuala Terengganu dan sebuah lagi di daerah Hulu Terengganu.

Menurutnya, sekolah terjejas di Kuala Terengganu ialah Sekolah Menengah Agama Kebangsaan (SMKA) Sheikh Abdul Malek; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin, SK Kedai Buloh dan SK Gelugor.

“Di Hulu Terengganu pula, sekolah yang ditutup ialah SK Lubuk Periuk.

“Kesemua tujuh sekolah ini tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana banjir yang melanda menyebabkan kawasan sekolah ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ditanya mengenai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, beliau memaklumkan JPNT sudah mengarahkan semua Pejabat Pendidikan Daerah yang terlibat bersiap siaga untuk menggerakkan Ops Payung sekiranya keadaan semakin buruk.

Menurutnya, Ops Payung akan digerakkan sekiranya berlaku tiga situasi banjir hasil perbincangan yang diadakan dengan pelbagai jabatan dan agensi sebelum ini.

Pada tahun ini, seramai 18,492 calon SPM sudah berdaftar dengan JPNT untuk menduduki peperiksaan itu di 176 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,420 calon adalah di daerah Kuala Terengganu diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827 calon), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284 calon).

Selain itu, seramai 1,742 calon berdaftar di daerah Marang diikuti 1,469 calon di Hulu Terengganu dan 1,130 calon di Setiu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan ketika ini terdapat dua sungai di daerah Hulu Terengganu yang melepasi paras bahaya pagi semalam.

Dua sungai tersebut ialah Sungai Peneh di Felda Mengkawang yang menunjukkan bacaan setinggi 37.73 meter berbanding paras bahaya 37.5 meter dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu menunjukkan bacaan 21.82 meter (paras bahaya 21 meter). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN