KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama menggunakan sasaran pukal, Majlis Sukan Negara (MSN) tampil lebih berani apabila mahu membawa pulang lima pingat emas pada Sukan Komanwel 2026 yang akan berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Malaysia yang diwakili 59 atlet akan menyertai lapan sukan dengan sasaran lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa disandarkan pada angkat berat, berbasikal, boling padang, judo, powerlifting dan para olahraga.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, sasaran tersebut dianggap realistik walaupun kontinjen negara hilang prospek pingat emas selepas sukan badminton dan gimnastik berirama tidak dipertandingkan pada edisi kali ini.
“Ketiadaan badminton dan gimnastik berirama menjejaskan sasaran awal yang kita buat sebelum ini namun dengan prestasi terkini kita ada tiga juara dunia dalam kontinjen kita kali ini.
“Daripada Bonnie Bunyau Gustin (atlet powerlifting), Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga) dan Emma (Firyana Saroji) (boling padang) yang baharu saja dinobatkan No. 1 dunia menunjukkan bahawa sukan-sukan yang telah kita garapkan boleh mempamerkan prestasi terbaik.
“Jadi, sasaran 5-2-4 itu adalah satu sasaran realistik yang boleh capai berdasarkan penilaian yang kita buat daripada tahun lepas lagi. Kad laporan yang kita bentangkan memberi petunjuk yang kita mungkin mampu dapat lebih pingat lagi,” katanya.
Jefri ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Bukit Jalil, semalam.
Ditanya penerimaan atlet mengenai pendekatan sasaran spesifik yang digunakan pada kali ini, Jefri berkata, mereka dapat menerimanya memandangkan semuanya sudah mempunyai pengalaman beraksi di temasya besar.
“Sebenarnya kalau tengok Sukan SEA pendekatan berbeza digunakan memandangkan sebahagian besar, 52 peratus adalah atlet baharu berbanding Sukan Asia, Sukan Komanwel yang mana kebanyakannya adalah atlet berpengalaman yang sudah biasa menerima tekanan.
“Jadi, tidak ada isu tentang pengumuman ini akan memberi tekanan berbeza kepada mereka malah mereka sendiri maklumkan apa yang mereka hendak capai pada temasya ini,” katanya. – UTUSAN










