SELEPAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri masa depan daripada Perikatan Nasional (PN), beliau mengulangi ‘sinetron’ lama enggan bertemu media.
Naib Presiden Pas itu didapati mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada media arus perdana selepas memenangi PRK Parlimen Kemaman, 2 Disember lalu.
Ahmad Samsuri dilihat lebih banyak melakukan kerjanya sebagai peneraju kerajaan negeri secara diam-diam seperti yang dilakukan sepanjang kempen PRK Kemaman.
Beberapa program rasmi melibatkan beliau tidak dimaklumkan kepada pihak media termasuk ketika melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, baru-baru ini.
Sebaliknya, program-program rasmi beliau diketahui pihak media selepas dimuat naik di Facebook miliknya sahaja.
Tindakan Ahmad Samsuri itu seolah-olah beliau mahu ‘kunci mulut’ daripada menjawab soalan-soalan berkaitan kedudukannya sebagai calon Perdana Menteri masa depan dan isu-isu lain berkaitan pentadbirannya serta politik di Terengganu.
Menteri Besar Terengganu itu sepatutnya bersikap profesional dengan bersedia menjawab soalan-soalan daripada wartawan walaupun terdapat soalan-soalan yang mungkin tidak disenanginya.
Bagaimanapun, sebelum PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang sangat mudah didekati dan mesra dengan pihak wartawan, tetapi kini telah berubah.
Ahmad Samsuri juga akan menjawab setiap soalan daripada wartawan secara terperinci, profesional dan jarang menolak menjawab soalan yang dikemukakan.
Selain itu, pihak media arus perdana di Terengganu juga mudah mendapatkan jadual program Menteri Besar yang dimaklumkan di dalam kumpulan WhatsApp ‘Media Perdana’, namun sejak kebelakangan ini kumpulan WhatsApp itu semakin sunyi paling ketara selepas memenangi kerusi parlimen Kemaman.
Sejak awal tahun ini, kebanyakan rakyat ingin tahu perancangan terbaharu kerajaan Terengganu untuk meningkatkan kemajuan negeri ini pada tahun 2024.
Rakyat ingin mengetahui apakah tindakan yang diambil Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri dalam membangunkan negeri dengan lebih pantas berbanding penggal lalu.
Sebelum ini, selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar setelah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Ahmad Samsuri mahu melipatgandakan kerja untuk memastikan pembangunan di negeri ini lebih pantas pada penggal ini berbanding penggal sebelum ini.
“Exco-exco (Terengganu) boleh terus bekerja selepas itu. Kami lakukan dengan pantas kerana jika penggal pertama, kita bergerak dengan ‘gear satu’, kali ini terus ‘gear tiga’,” kata Ahmad Samsuri.
Menteri Besar itu boleh memanfaatkan media arus perdana untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai projek-projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di negeri ini. – UTUSAN










