Acacia dakwa trauma diganggu Safiq - Utusan Malaysia

Acacia dakwa trauma diganggu Safiq

Trauma
MOHAMAD Safiq Rosli diiringi anggota polis ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhannya di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang wanita yang menjadi mangsa gangguan dan hendap (stalker) memberitahu mengalami trauma teruk akibat diganggu oleh tertuduh, dalam prosiding di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Mangsa, Acacia Mardiana Daud, 32, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas mendakwa masalah trauma akibat gangguan daripada tertuduh, Mohamad Safiq Rosli, 38,  menyebabkan pekerjaan dan aktiviti rutin hariannya terganggu.

“Akibat diganggu lelaki (tertuduh), saya mengalami trauma yang teruk dan rasa takut akan keselamatan sehingga tak berani keluar rumah. Rasa trauma mengganggu kerja dan aktiviti harian saya selain mengganggu masa depan.

“Saya hidup dalam ketakutan,” katanya di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu ketika menghadiri prosiding tersebut secara dalam talian (menggunakan aplikasi Zoom).

Acacia yang merupakan pengadu yang dipanggil sebagai saksi memberikan kenyataan secara dalam talian apabila tidak dapat hadir secara fizikal kerana berada di luar negara (United Kingdom).

Sementara itu, saksi kedua, pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Hafizee memberitahu perlu mendapatkan maklumat akaun media sosial daripada tertuduh selepas telefon bimbit jenis iPhone X milik Mohamad Safiq tidak dapat dihidupkan atau diakses.

“Tertuduh ditemui bagi mendapatkan maklumat daftar masuk akaun media sosial (@sopert99) bagi tujuan pemulihan data (data preservation) yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Data preservation daripada MCMC (SKMM) menunjukkan terbukti berlaku gangguan daripada Mohamad Safiq kepada Acacia. Hasil siasatan saya terhadap Mohamad Safiq yang menghendap Acacia Mardiana terdapat beberapa bukti yang dapat dikaitkan sebagaimana yang telah dimaklumkan sebentar tadi.

“Selain itu, dengan bukti itu, Mohamad Safiq telah melakukan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Sasha Diana kemudian menangguhkan kes pada petang ini untuk memutuskan keputusan di peringkat pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun @sopert99 secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun “@ShaFoShizzle” menerusi aplikasi Twitter (kini X).

Gangguan itu kemudian dibaca di sebuah rumah di daerah ini, yang mana tertuduh tahu gangguan berkenaan boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa termasuk melibatkan luahan perasaan.

Kesalahan itu dilakukan pada 15 Julai hingga 21 Julai tahun lalu. Justeru, tertuduh didakwa atas kesalahan menghendap di bawah Seksyen 507A (1) KK yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh pada Ogos lalu menjadi individu pertama didakwa mengikut seksyen tersebut selepas akta berkenaan dikuatkuasakan tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya