Kadar kemiskinan diukur berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan

Kadar kemiskinan diukur berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan

Kadar kemiskinan
SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kewujudan keluarga atau golongan miskin yang memerlukan di negeri ini tidak pernah dinafikan, sebaliknya pendekatan bantuan diberikan berdasarkan data rasmi serta Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) seperti mana diguna pakai di peringkat nasional.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tindakan yang diambil oleh kerajaan bukan sekadar bercakap soal kebajikan, tetapi melaksanakan intervensi terus kepada rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.

Katanya, antara dasar yang dilaksanakan termasuklah bantuan kebajikan secara berterusan kepada rakyat termasuk program Bingkas , Khairat Darul Ehsan, Iltizam Selangor Sihat, Jom Shopping Perayaan serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang terus diperkasa dari semasa ke semasa.

“Saya tegaskan bahawa usaha penoktahan miskin tegar terutama di Selangor bukan perkara baharu, malah menjadi fokus utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani sejak hari pertama pentadbiran.

“Pendekatan itu membuktikan kerajaan bukan sekadar bercakap soal kebajikan, tetapi melaksanakan intervensi terus kepada rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menyelar dakwaan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menganggap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mendedahkan kadar kemiskinan di negeri ini masih belum dinoktahkan sepenuhnya.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu, data pentadbiran daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan masih ramai rakyat hidup susah dan miskin tegar apabila pada 2024, terdapat 21,997 ketua isi rumah berdaftar dengan eKasih, bukannya sifar.

Bagaimanapun, Saifuddin Shafi mendakwa Mohamed Azmin cuba bermain politik murahan yang tidak berasaskan fakta sebenar serta kegagalan memahami data kemiskinan secara menyeluruh.

“Sebagai bekas Menteri Besar, Azmin sepatutnya memahami bahawa data eKasih dan bantuan kebajikan adalah sebahagian daripada mekanisme pengesanan serta intervensi. Bukan bukti kegagalan kerajaan seperti didakwanya.

“Yang sebenarnya berada dalam sindrom penafian ialah Mohamed Azmin sendiri. Beliau ketika menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dahulu merupakan antara individu yang enggan mengakui peningkatan kes Covid-19 adalah berpunca daripada kluster kilang walaupun data dan laporan jelas menunjukkan perkara tersebut,” selarnya.

Tambahnya, bagaimanapun Kerajaan Selangor juga menjunjung titah Sultan Selangor supaya institusi Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) diperkasakan serta agenda membasmi kemiskinan terus diberi perhatian secara berterusan dan bersepadu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN