PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDN) akan bertindak lebih agresif melaksanakan penguat kuasaan besar-besaran bagi menangani ketirisan dan penyelewengan subsidi pada tahun 2024.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, memandangkan penyasaran subsidi akan bermula Januari maka, penguat kuasaan yang lebih menyeluruh akan turut dilaksanakan.
“Tahun 2024 adalah tahun penguatkuasaan bagi KPDN, ditambah lagi dengan dasar kerajaan untuk penyasaran subsidi jadi, saya ingin memberi nasihat kepada mereka-mereka yang terlibat dalam penyeludupan dan penyelewengan, bolehlah memulakan perniagaan baharu yang lebih berkat.
“Penyeludupan dan penyelewengan ini bagi saya adalah satu bentuk sabotaj kepada dasar kerajaan untuk memberi subsidi dan perlindungan kepada rakyat yang memerlukan.
“Maka, saya mengharapkan mereka menghentikan tindakan ini, kita akan memantau dan membuat penguatkuasaan besar-besaran tahun 2024, carilah rezeki lebih berkat tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Fun Hike Keluarga Samat, semalam.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, isu ketirisan dan penyelewengan subsidi masih berlaku terutama di Sabah yang mempunyai sempadan lautan yang begitu luas.
Jadi, selain pemantauan di sempadan, penguatkuasaan melalui satu sistem kawalan perlu dilakukan.
Jika dilihat bermula tahun depan, KPDN akan rintis Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan fleet card di Semenanjung Malaysia bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel.
Beliau berkata, program rintis SKDS 2.0 itu akan membolehkan kawalan dilakukan terhadap diesel bersubsidi yang diberikan kepada sektor yang mempunyai kelayakan untuk akses kepada diesel bersubsidi iaitu sektor pengangkutan darat (barangan) dan pengangkutan awam.
“Mereka kena memohon dan melalui kad itu, kita (KPDN) akan tahu siapa yang akan dapat kad dan berapa penggunaannya, kita akan bagi kuota-kuota bagi setiap penggunaan,” katanya.
Menurut Armizan, sidang akhbar khas mengenai SKDS 2.0 menggunakan fleet card itu akan diadakan pada awal tahun 2024 bagi menjelaskan tentang sistem ini dan data penyaluran subsidi serta kuota yang akan diberikan kepada setiap syarikat pengusaha minyak.
Walau bagaimanapun di Sabah, KPDN akan memperkenalkan mekanisme kawalan khusus kerana di Sabah masih boleh memperoleh subsidi diesel di stesen-stesen minyak kerana penyasaran subsidi diesel belum dilaksanakan di Sabah dan Sarawak pada tahun depan.
Langkah khusus itu perlu dilakukan bagi mengurangkan ketirisan subsidi diesel yang masih boleh dinikmati oleh pengguna di Sabah dan Sarawak pada tahun 2024.
Mengenai isu kekurangan bekalan diesel di sesetengah stesen minyak, Armizan berkata, pemantauan yang dilakukan mendapati peningkatan penggunaan diesel menyebabkan syarikat-syarikat pengusaha minyak terpaksa menambah kuota bekalan diesel.
Sementara menunggu kuota ditambah, sesetengah stesen minyak mengehadkan pembelian diesel agar stesen itu tidak terputus bekalan diesel. – UTUSAN










