Wanita keracunan makanan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Wanita keracunan makanan meninggal dunia

SEORANG individu mendakwa ibu saudaranya meninggal dunia selepas keracunan makanan di media sosial, baru- baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang dipercayai keracunan makanan setelah menikmati makanan yang dibeli di sebuah Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di negeri ini meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, baru-baru ini.

Perkara tersebut tular di media sosial setelah dikongsi oleh seorang individu di dalam group media sosial Facebook Pengguna LPT (Lebuhraya Pantai Timur) tiga hari lalu.

Individu tersebut memaklumkan ibu saudaranya itu datang dari Johor ke Terengganu untuk proses pendaftaran anak saudaranya ke sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Nerus.

“Datang dari Johor ke Terengganu untuk pendaftaran anak buah ke UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin). Singgah makan di R&R, makan sandwich dibeli di R&R tersebut. Basi rupanya.

“Kena keracunan makanan, dua mangsa. Mak cik (ibu saudara) dan anak buah. Tapi mak cik yang teruk. Kritikal muntah dan berak nonstop (tak berhenti). Masuk air, ‘collaps’.

“Masuk ICU Sultanah Zahirah (HSNZ) dan meninggal malam tadi. Alhamdulillah dipermudahkan urusan bawa balik jenazah ke JB (Johor Bahru) dan selamat dikebumikan,” tulisnya.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang bimbang dengan keselamatan makanan yang dijual, apatah lagi jumlah pengguna LPT meningkat ketika ini disebabkan musim cuti perayaan Hari Krismas.

Wanita tersebut berkata, tujuannya berkongsi perkara itu di media sosial adalah sebagai langkah berwaspada kepada pengguna yang lain.

“Amat berdukacita. Berhati-hatilah makan. Kepada para peniaga tolonglah bertanggungjawab sediakan makanan bersih dan jangan jual makanan berulang yang tak habis,” tulisnya lagi.

Wanita itu berkata, beliau difahamkan HSNZ telah melaporkan kejadian itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan perkara itu kini dalam siasatan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kes berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menegaskan satu kenyataan media rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya