ADDIS ABABA: Pihak berkuasa di Republik Demokratik Congo mengemas kini jumlah kematian akibat wabak Ebola kepada 204 orang lewat Sabtu, beberapa jam selepas Persatuan Palang Merah memaklumkan tiga sukarelawannya maut di negara itu dan Uganda mengesahkan tiga lagi kes baharu.
Kenyataan Kementerian Kesihatan Congo menyebut 204 kematian direkodkan di tiga wilayah negara besar di Afrika Tengah itu daripada 867 kes disyaki. Jumlah terakhir oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat mencatatkan 177 kematian daripada 750 kes disyaki.
WHO telah mengisytiharkan wabak demam berdarah yang sangat berjangkit itu sebagai kecemasan antarabangsa.
Pada Sabtu, agensi kesihatan Kesatuan Afrika memberi amaran bahawa lebih banyak negara di benua itu berisiko terjejas akibat virus Ebola selain Congo dan Uganda.
“Kami mempunyai 10 negara berisiko,” kata Ketua Pusat Afrika Untuk Kawalan Penyakit dan Pencegahan, Jean Kaseya dan menyenaraikan Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Congo, Ethiopia, Kenya, Rwanda, Sudan Selatan, Tanzania serta Zambia.
Kaseya berkata, mobiliti tinggi dan masalah keselamatan di rantau itu membantu penularan penyakit tersebut.
Kes baharu yang disahkan di Uganda pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan di negara Afrika Timur itu meningkat kepada lima sejak wabak dikesan di sana dan di Congo pada 15 Mei. Seorang individu di Uganda telah meninggal dunia.
Kementerian Kesihatan negara itu menamakan pesakit baharu tersebut sebagai seorang pemandu warga Uganda, seorang petugas kesihatan Uganda dan seorang wanita dari Congo. Kesemua mereka masih hidup.
Ebola ialah penyakit virus maut yang merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan. Ia boleh menyebabkan pendarahan teruk dan kegagalan organ.
Wabak semasa tertumpu di timur Congo yang bergolak akibat konflik, di mana ia mula dikesan di wilayah Ituri yang bersempadan dengan Uganda sebelum merebak ke Kivu Selatan
Ebola telah meragut lebih 15,000 nyawa di Afrika sepanjang setengah abad lalu. – AFP










