Ratusan pelajar keracunan makanan selepas makan hidangan percuma - Utusan Malaysia

Ratusan pelajar keracunan makanan selepas makan hidangan percuma

PROGRAM makanan percuma untuk pelajar dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURABAYA: Kira-kira 200 pelajar di Surabaya, Jawa Timur mengalami gejala keracunan makanan selepas mengambil hidangan berkhasiat percuma yang disediakan di bawah program kerajaan.

Menurut laporan media tempatan pada Ahad, kumpulan pelajar tersebut berasal daripada 12 buah tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah rendah di mukim Tembok Dukuh.

Mereka  dilaporkan jatuh sakit selepas memakan hidangan berkenaan pada 11 Mei lalu.

Kebanyakan pelajar mengadu mengalami pning kepala, loya dan muntah-muntah. 

Majoriti daripada mereka hanya menjalani pemeriksaan perubatan ringan. Sebahagian lagi menerima rawatan di Hospital Ibu dan Anak IBI di Surabaya. Tiada kes yang dilaporkan memerlukan kemasukan ke wad.

Ketua Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Tembok Dukuh, Tiyas Pranadani mengesahkan kes keracunan ini dikaitkan dengan makanan percuma yang diedarkan oleh sebuah unit perkhidmatan pemakanan (SPPG) yang sama.

Siasatan awal mengesyaki hidangan berasaskan daging yang disajikan pada hari tersebut menjadi punca utama. 

“Berdasarkan pemantauan kami dan laporan daripada guru-guru, kebiasaannya hidangan sebelum ini tidak mengandungi daging,” kata Tiyas. 

Beliau menambah bahawa ada kemungkinan ia berpunca daripada hidangan itu memandangkan pelajar tidak pernah menerima menu daging sebelum ini.

Pengalaman tersebut turut diakui oleh salah seorang pelajar Sekolah Dasar (SD) Raden Wijaya dikenali sebagai Gibran. Beliau menyatakan bahawa walaupun makanan tersebut agak menyelerakan, namun, daging lembu yang dimakannya berasa pahit.

Sampel makanan telah diambil dari lokasi kejadian dan dihantar ke Balai Besar Laboratorium Kesehatan (BBLK) dengan kerjasama agensi kesihatan Surabaya bagi pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar gejala berkenaan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN