Prabowo akui program makanan percuma bermasalah - Utusan Malaysia

Prabowo akui program makanan percuma bermasalah

PRABOWO SUBIANTO - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Sabtu mengakui bahawa program penyediaan makanan percuma bagi menangani masalah kekurangan zat makanan kini berdepan dengan pelbagai masalah.

Ribuan individu dilaporkan jatuh sakit sejak skim bernilai berbilion dolar yang mendapat publisiti meluas itu dilancarkan pada Januari 2025. Perkembangan itu mendorong para pengkritik mendesak agar program berkenaan ditangguhkan atas faktor kebersihan selain timbulnya dakwaan isu rasuah.

“Memang benar terdapat banyak masalah dan cabaran. Program makanan berkhasiat percuma ini mendatangkan banyak masalah dan kita mesti memperbetulkan keadaan ini,” kata Prabowo dalam satu ucapan di Jawa Timur yang dimuat naik di saluran YouTube rasmi beliau pada Sabtu.

Skim itu dilaporkan telah menyediakan makanan kepada lebih 61 juta orang menjelang Mac lalu, merupakan antara program terawal yang terpaksa dikurangkan peruntukannya ketika Jakarta sedang berusaha menangani impak ekonomi akibat krisis peperangan di Asia Barat.

Indonesia mengurangkan kekerapan program tersebut daripada enam hari seminggu kepada lima hari pada Mac lalu bagi menjimatkan kos sehingga 40 trilion rupiah (RM9.03 bilion).

Bagaimanapun, Prabowo menyatakan bahawa skim tersebut masih mendapat sokongan padu daripada rakyat marhaen di sebalik senarai panjang masalah yang timbul.

“Makanan berkhasiat percuma ini sangat penting untuk bangsa kita,” ujar beliau.

Program berkenaan merupakan dasar utama yang diperjuangkan Prabowo ketika kempen Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.

Media tempatan melaporkan bahawa badan pemantau rasuah, Indonesia Corruption Watch (ICW) telah mengemukakan aduan rasmi minggu lalu terhadap Dadan Hindayana iaitu Ketua Badan Gizi Nasional yang dipertanggungjawabkan untuk mengagihkan makanan percuma tersebut.

Dalam aduan yang diserahkan kepada Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK), ICW mendakwa wujudnya percanggahan dana yang mencecah hampir AS$50 juta (RM197.7 juta) dalam bajet perolehan pensijilan halal bagi program berkenaan.

Menjawab isu tersebut, Prabowo menyatakan bahawa beliau akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sesiapa sahaja yang melanggar peraturan.

“Kerajaan saya tidak akan teragak-agak, sesiapa sahaja yang melanggar peraturan, menyeleweng tau menyalahgunakan kuasa mereka, akan dikenakan tindakan tatatertib. Kita akan bersihkan mereka dan memecat daripada jawatan,” kata beliau.

Ketika ini, lebih 20 peratus kanak-kanak di Indonesia terkesan dengan masalah bantut yang berpunca daripada kekurangan zat makanan yang teruk.

Kerajaan pada mulanya menyasarkan skim tersebut dapat menyediakan makanan kepada sekurang-kurangnya 82.9 juta penduduk iaitu sekitar satu pertiga daripada jumlah populasi negara itu dalam usaha tuntas bagi menangani isu keterjaminan makanan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN