Prabowo tinjau jet pejuang baru Indonesia buatan Perancis - Utusan Malaysia

Prabowo tinjau jet pejuang baru Indonesia buatan Perancis

PRABOWO (kiri) meninjau jet tempur Rafale. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia akan terus meningkatkan keupayaan pertahanannya, kata Presiden Prabowo Subianto pada Isnin, dengan memetik ketidaktentuan global ketika beliau melancarkan aset ketenteraan baharu termasuk enam jet pejuang Rafale buatan Perancis untuk tentera udara negara itu.

Negara Asia Tenggara itu, yang mengamalkan dasar berkecuali diplomatik, mesti terus meningkatkan keupayaan pertahanan sebagai langkah pencegahan, kata Prabowo kepada wartawan pada satu majlis di pangkalan udara tentera di Jakarta.

Beliau berkata, Indonesia tidak mempunyai kepentingan lain selain melindungi wilayah sendiri.

“Kita melihat landskap geopolitik global dipenuhi ketidaktentuan, dan kita mengiktiraf bahawa pertahanan merupakan prasyarat utama bagi kestabilan,” tambahnya.

Prabowo meninjau peralatan pertahanan yang baru diperoleh tentera Indonesia.

Selain jet Rafale, empat jet Dassault Falcon 8X dan sebuah pesawat pengangkut Airbus A400M Atlas turut ditinjau Prabowo, menurut kenyataan istana presiden.

Jakarta menandatangani perjanjian bernilai AS$8.1 bilion (RM32 bilion) pada 2022 ketika Prabowo masih menjadi menteri pertahanan untuk membeli 42 pesawat pejuang Dassault Rafale buatan Perancis.

Setakat ini, enam jet telah dihantar, tiga pada Januari dan bakinya pada Isnin, kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Rico Ricardo Sirait kepada AFP.

“Kerajaan melihat pengukuhan aset pertahanan bukan sekadar pemerolehan platform tempur, tetapi sebagai pelaburan strategik untuk melindungi kedaulatan, maruah negara dan kesiapsiagaan pertahanan negara,” kata Rico.

Prabowo, bekas jeneral tentera yang mengambil alih kuasa pada 2024, telah berusaha memodenkan aset ketenteraan Indonesia yang semakin usang.

Beliau bertemu Presiden Perancis, Emmanuel Macron bulan lalu di Paris, di mana kedua-dua pemimpin membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik termasuk melalui pemerolehan peralatan pertahanan dan pengukuhan industri pertahanan, menurut kenyataan kerajaan Indonesia. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN