Pengetua SMK Sungai Rambai bertindak ikut prosedur – Rahmad

Pengetua SMK Sungai Rambai bertindak ikut prosedur – Rahmad

ISU tular apabila satu sepanduk meminta KPM mengambil tindakan ke atas pengetua SMK Bukit Rambai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai menutup pagar sekolah tepat pukul 7.30 pagi adalah bagi menangani masalah ponteng dan kelewatan murid selepas isu itu tular di aplikasi Threads sejak semalam.

Terdahulu, satu hantaran di media sosial itu mendakwa pengetua sekolah berkenaan menghalang murid hadir ke sekolah dan menafikan hak pelajar untuk mendapatkan pendidikan susulan dengan tindakan menutup pagar sekolah pada waktu ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman menegaskan, tindakan tersebut dibuat mengikut prosedur dan dipersetujui bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

RAHMAD Mariman mengadakan sidang akhbar mengulas isu itu tular di aplikasi Threads.

Menurut beliau, keputusan itu bukan dibuat secara individu oleh pengetua sekolah, sebaliknya hasil persetujuan dalam mesyuarat PIBG selepas pihak sekolah mendapati masalah ponteng dan lewat hadir semakin serius.

“Kalau sekolah lain mencatat kehadiran sehingga 99 peratus, sekolah ini hanya sekitar 88 hingga 90 peratus sahaja. Ini bermakna masalah ponteng dan lewat hadir sangat serius.

“Sebab itu pengetua terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan murid hadir ke sekolah mengikut waktu ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pihak tertentu menggantung bahan atau kenyataan dipercayai mempertikaikan tindakan pengetua sekolah tersebut serta tular di aplikasi Threads.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, berdasarkan rekod Januari hingga April lalu, sebanyak 1,550 kekerapan ponteng direkodkan dengan purata 23 murid tidak hadir setiap hari.

Katanya, terdapat 12 murid dikenal pasti kerap datang lewat membabitkan seorang pelajar Tingkatan Dua, lima pelajar Tingkatan Tiga, empat pelajar Tingkatan Empat dan dua pelajar Tingkatan Lima.

“Jadi keputusan menutup pagar pada pukul 7.30 pagi bukan perkara luar biasa kerana banyak sekolah lain turut melaksanakan peraturan sama,” ujarnya.

Menurutnya, pihak sekolah tidak pernah menghalang murid mendapatkan pendidikan, malah sentiasa membuka ruang perbincangan dengan ibu bapa serta menjalankan program ziarah cakna ke rumah murid bermasalah.

Namun katanya, terdapat segelintir ibu bapa yang enggan hadir berbincang walaupun telah dipanggil pihak sekolah.

“Kadang-kadang guru pergi ke rumah murid pun tidak diterima dengan baik. Jadi kita harap ibu bapa dapat bekerjasama dengan pihak sekolah demi masa depan anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa terlibat bagi menyelesaikan isu berkenaan secara baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN