Pelajar perempuan mati ditikam ketika pergi ke sekolah

Pelajar perempuan mati ditikam ketika pergi ke sekolah

LOKASI kejadian seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun mati ditikam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Sebuah kampung di Perancis berada dalam keadaan terkejut pada Khamis selepas seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mati ditikam ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Remaja itu ditemui dalam keadaan parah pada pagi Rabu di sebuah jalan di Fere-en-Tardenois di timur laut Perancis, menurut pihak pendakwa raya.

Mangsa meninggal dunia akibat beberapa kesan tikaman di leher sebelum pasukan penyelamat tiba.

Seorang lelaki penganggur berusia 23 tahun yang tinggal bersama ibu bapanya ditahan pada petang Rabu kira-kira 25 kilometer dari kampung tersebut.

Pejabat pendakwa raya berkata, suspek mungkin bekas teman lelaki mangsa.

Bunga ros putih dan lilin diletakkan di hadapan pintu masuk sekolah menengah mangsa pada pagi Khamis.

“Dia sentiasa tersenyum,” kata seorang rakan mangsa. Mereka biasanya berjalan ke sekolah bersama-sama, namun tidak berbuat demikian pada Rabu.

Kawalan keselamatan diperketatkan ketika sekolah dibuka semula di kampung tenang yang mempunyai 2,800 penduduk di barat Reims, dan beberapa pelajar dilihat masih terkejut.

Diiringi anggota polis atau kakitangan sekolah, kebanyakan mereka enggan bercakap dengan wartawan.

“Ia benar-benar mengerikan,” kata seorang ibu ketika menghantar anak perempuannya ke sekolah.

“Biasanya, mereka menaiki bas, tetapi pagi ini saya mahu berada bersama mereka,” tambahnya.

Susulan tragedi itu, satu unit kecemasan diwujudkan di sekolah bagi menyediakan sokongan psikologi.

Lebih 85 anggota penguat kuasa dikerahkan pada Rabu untuk membantu memburu suspek, menurut polis. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×