JAKARTA: Sektor perniagaan di Indonesia kini berdepan tekanan hebat berikutan kejatuhan nilai mata wang rupiah menyebabkan pihak industri turut memberi amaran mengenai kesannya.
Pihak industri itu memberi amaran mengenai peningkatan kos pengeluaran, bebanan obligasi dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang semakin berat serta ketidaktentuan yang menjejaskan keputusan pelaburan.
Menurut Persatuan Pengusaha Indonesia (Apindo), susut nilai rupiah berbanding dolar AS telah mula memberi kesan ketara kepada industri yang masih bergantung kuat kepada bahan mentah import.
Ketua Umum Apindo, Shinta Kamdani berkata, syarikat-syarikat kini sedang memperkukuh strategi pengurusan risiko bagi menghadapi turun naik mata wang serta ketidaktentuan ekonomi global yang lebih meluas.
“Sektor perniagaan sedang memperkasakan strategi pengurusan risiko yang lebih menyeluruh. Penggunaan instrumen lindung nilai terhadap turun naik kadar pertukaran wang kini ditingkatkan, di samping usaha mengimbangi semula struktur hutang,” kata Shinta.
Berdasarkan data Bloomberg, mata wang rupiah menyusut nilai kepada Rp17,596 (RM3.97) bagi setiap dolar AS di pasaran pada Jumaat, mencatatkan penurunan sebanyak 67 mata atau 0.39 peratus.
Shinta menjelaskan bahawa kejatuhan nilai mata wang itu memberi impak langsung kepada kos pengeluaran, terutamanya dalam industri pembuatan yang mana bahan mentah import merangkumi sebahagian besar daripada perbelanjaan operasi mereka.
“Kira-kira 70 peratus bahan mentah pembuatan masih diimport, manakala bahan mentah menyumbang sekitar 55 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran. Kesannya, susut nilai rupiah ini dicerminkan serta-merta melalui kos yang lebih tinggi,” jelas beliau.
Antara industri yang dikenal pasti paling rapuh dan terdedah kepada risiko ini termasuk sektor petrokimia, plastik, makanan dan minuman, farmaseutikal serta sektor pembuatan berintensifkan tenaga yang kesemuanya amat bergantung kepada bahan input import.
Antara contoh paling ketara dapat dilihat dalam industri plastik apabila lonjakan harga nafta global telah melonjakkan harga resin dengan mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Peningkatan tersebut memberikan kesan rantaian kepada industri hiliran, terutamanya pengeluar pembungkusan dan sektor lain yang bergantung kepada bahan berasaskan plastik. – AGENSI










