Lelaki bersenjata ditembak mati dekat Rumah Putih - Utusan Malaysia

Lelaki bersenjata ditembak mati dekat Rumah Putih

ANGGOTA tentera berkawal berhampiran Rumah Putih selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di Washington semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan berhampiran Rumah Putih, Washington DC pada petang Sabtu, dengan ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS)  menembak mati penyerang itu.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku dalam insiden berbalas tembakan yang turut menyebabkan seorang orang awam terkena tembakan.

Presiden Donald Trump berada di Rumah Putih ketika kejadian berlaku pada hari beliau sedang berusaha merundingkan satu perjanjian dengan Iran.

Ketua komunikasi Perhidmatan Rahsia,, Anthony Guglielmi dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, Trump tidak terjejas dalam insiden tersebut.

Konfrontasi itu berlaku sejurus selepas puku 6 petang waktu tempatan apabila seorang lelaki berhampiran perimeter keselamatan Rumah Putih mengeluarkan senjata dari begnya dan mula melepaskan tembakan.

“Polis Perkhidmatan Rahsia kemudian  membalas tembakan dan mengenai suspek yang kemudian dibawa ke hospital berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia. Dalam kejadian itu, seorang orang awam turut terkena tembakan,” kata Guglielmi tanpa memberikan butiran lanjut mengenai keadaan mangsa tersebut.

Tiada anggota-anggota Perkhidmatan Rahsia yang cedera.

Polis dan pasukan keselamatan mengepung kawasan kejadian serta menutup laluan masuk, manakala anggota-anggota tentera Pengawal Kebangsaan menghalang wartawan AFP daripada memasuki kawasan di pusat bandar Washington itu.

“Kami dengar mungkin 20 hingga 25 bunyi seperti mercun, tetapi sebenarnya bunyi tembakan dan kemudian semua orang mula lari,” kata pelancong Kanada, Reid Adrian, kepada AFP.

Wartawan yang berada di Laman Utara Rumah Putih ketika kejadian berkata, mereka diarahkan berlari dan berlindung di bilik taklimat media.

Wartawan ABC News, Selina Wang, sedang merakam video untuk media sosial apabila tembakan tercetus dan bunyi tembakan itu turut dirakam ketika beliau menjatuhkan diri ke tanah.

“Ia kedengaran seperti berpuluh-puluh das tembakan,” katanya di X.

Trump, 79, telah menjadi sasaran tiga cubaan pembunuhan yang didakwa, dengan kejadian paling terbaru berlaku pada 25 April apabila seorang lelaki bersenjata menyerbu pusat pemeriksaan keselamatan di sebuah hotel tempat Trump menghadiri satu majlis media.

Namun, lelaki itu tidak sempat mendekati Trump atau tetamu lain yang hadir.

Pada Julai 2024, beliau menjadi sasaran semasa satu perhimpunan kempen di Butler, Pennsylvania. Seorang lelaki bersenjata membunuh seorang hadirin dan mencederakan telinga Trump ketika itu.

Beberapa bulan kemudian, seorang lagi lelaki bersenjata ditahan di sebuah padang golf di Pantai Barat Palm, Florida ketika Trump sedang bermain golf. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN