Jualan tembikai menjunam selepas kematian misteri empat beranak - Utusan Malaysia

Jualan tembikai menjunam selepas kematian misteri empat beranak

HARGA buah tembikai menjunam di India. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Jualan tembikai merosot secara drastik di India selepas sebuah keluarga seramai empat orang meninggal dunia dalam keadaan misteri sejurus selepas memakan buah itu. 

Kejadian berlaku pada awal pagi baru-baru ini melibatkan Abdullah Dokadia, 45, isterinya Nasreen, 35 dan dua anak perempuan mereka, Ayesha, 16, serta  Zainab, 13, di kediaman mereka yang terletak di Pydhonie, kawasan Bhendi Bazaar, selatan Mumbai. 

Sebelum kejadian, keluarga tersebut telah melayan sembilan orang tetamu untuk makan malam dan menghidangkan nasi beriani. Namun, kesemua tetamu tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang gejala sakit walaupun memakan hidangan sama.

Selepas kesemua tetamu pulang, empat beranak berkenaan memakan tembikai pada sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan. Menjelang pukul 5 pagi waktu tempatan, mereka mula mengalami simptom muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit yang teruk. 

Mereka dikejarkan ke hospital dalam keadaan separa sedar tetapi meninggal dunia selang beberapa jam antara satu sama lain. 

Pihak polis telah mendaftarkan kes tersebut sebagai kematian mengejut dan merakam kenyataan daripada tetamu yang hadir untuk membantu siasatan.

Insiden ini telah mencetuskan panik sehingga menyebabkan permintaan terhadap tembikai jatuh hampir 30 peratus. Harga borong menjunam kepada sekitar lima rupee (RM0.20) hingga tujuh rupee (RM0.28) sekilogram. Ia lebih  rendah berbanding harga biasa antara 10 rupee (RM0.41) hingga 35 rupee (RM1.44). – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×