Wakil rakyat DAP bantah penutupan jalan 54 jam

Wakil rakyat DAP bantah penutupan jalan 54 jam

KERK CHEE YEE (kiri) dan KHOO POAY TIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua wakil rakyat DAP di Melaka membantah penutupan jalan selama 54 jam di Banda Hilir di sini, untuk Zon Bebas Kenderaan dari pukul 6 petang Jumaat sehingga 12 tengah malam Ahad.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Chee Yee berkata, inisiatif itu terbukti gagal dan kesan buruk yang terhasil jauh lebih banyak daripada kesan baik dihasratkan kerajaan negeri.

Jelasnya, apabila pengumuman Zon Bebas Kenderaan dibuat sekitar Mei lalu, beliau pernah menyatakan pendirian tidak bersetuju atas sebab ketidaksediaan kawasan terlibat daripada segi pengangkutan awam dan tempat letak kenderaan.

Ujarnya, tambahan pula, jalan yang ditutup merupakan laluan utama diguna pakai rakyat Melaka setiap hari.

“Sepanjang tempoh percubaan yang bermula sejak Ogos di mana Poay Tiong dan ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen dilibatkan dalam sesi-sesi dialog, beberapa kerisauan telah dibangkitkan seperti kesesakan jalan, laluan kecemasan ke hospital dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kesan kepada perniagaan kecil serta kekeliruan pelancong yang memandu dalam kawasan tersebut.

“Dalam beberapa pentadbiran kerajaan negeri yang lalu, cadangan sedemikian pernah dibangkitkan termasuk pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 di mana saya salah seorang Exco.

“Walaupun secara dasarnya, kerajaan negeri patut berusaha ke arah itu seperti mana yang dilaksanakan dalam beberapa negara pelancongan yang lain, namun ia tertakluk kepada cara pelaksanaan dan perlu melihat kepada keadaan semasa lokasi tersebut, seperti sistem pengangkutan awam dan kawasan letak kenderaan.

“Ini adalah sebab kenapa inisiatif Zon Bebas Kenderaan tidak dilaksanakan pada zaman pentadbiran PH di Melaka, kerana ada aspek lain yang perlu ditambah baik dahulu sebelum boleh dilaksanakan dengan berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Poay Tiong berkata, kerajaan negeri menjalankan perancangan itu secara tiba-tiba pada waktu puncak, menyebabkan para peniaga tidak bersedia.

Katanya, ia bukan sahaja tidak memberi faedah kepada industri pelancongan tempatan, malah merugikan peniaga dan menyebabkan pelancong enggan melawat Melaka.

“Para peniaga telah secara sukarela memulakan petisyen, berharap kerajaan negeri membatalkan rancangan Zon Bebas Kenderaan, ia menunjukkan kesan yang sangat serius terhadap mereka.

“Selain itu, kawasan pusat bandar Melaka tidak ditambah jalan baharu dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, tetapi bilangan kenderaan dałam negeri terus meningkat. Rancangan itu turut dilaksanakan di pusat bandar, ia hanya akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya