Utusan Malaysia menang besar Anugerah Kewartawanan Perlis

Utusan Malaysia menang besar Anugerah Kewartawanan Perlis

MOHD. Hafiz Abd. Mutalib merangkul Anugerah Utama Keseluruhan Terbaik,  membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000, trofi dan sijil yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Utusan Malaysia mendominasi Malam Anugerah Kewartawanan Perlis (MAKPs) 2023 apabila memenangi tempat pertama enam daripada sembilan kategori yang dipertandingkan termasuk merangkul hadiah utama keseluruhan terbaik dalam majlis yang berlangsung di Dewan Warisan di sini, semalam.

Tiga wartawan Utusan Malaysia termasuk dari Kosmo! dan jurugambar memenangi tempat pertama bagi kategori utama Laporan Keseluruhan Terbaik, Laporan Khas Terbaik, Berita Terbaik, Rencana Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik dan Foto Terbaik.

Wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Hafiz Abd. Mutalib berjaya merangkul Anugerah Utama Keseluruhan Terbaik menerusi laporan bertajuk Apa Jadi RCI Wang Kelian sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000, trofi dan sijil yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Laporan bersiri yang mempersoalkan mengenai RCI Wang Kelian yang belum didedahkan kepada umum walaupun sudah lapan tahun kejadian tersebut berlaku turut mengungguli tempat pertama bagi kategori Laporan Khas Terbaik.

WARTAWAN dan jurugambar Utusan Malaysia yang menggunguli tempat pertama enam daripada sembilan kategori dipertandingkan dalam Malam Anugerah Kewartawanan Perlis (MAKPs) 2023 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis semalam.

Kategori Laporan Khas Terbaik itu juga turut didominasi oleh wartawan dari Kosmo!, Syed Azlan Sayid Hizar yang menduduki tempat kedua menerusi laporan bertajuk ‘Peniaga Siam Tawan Padang Besar’ dan wartawan Utusan Malaysia, Asyraf Muhammad menduduki tempat ketiga dengan laporan bertajuk ‘Empangan Timah berpotensi tercemar, kandungan fosforus tinggi’.

Kecemerlangan Utusan Malaysia diteruskan lagi apabila Asyraf menggunguli tempat pertama bagi kategori Berita Terbaik menerusi laporan bertajuk ‘Perlis Hilang 70 Peratus Bekalan Air Bersih Setiap Hari’.

Tempat kedua dan ketiga bagi kategori tersebut juga didominasi oleh wartawan dari akhbar ini iaitu Mohd. Hafiz dan Syed Azlan masing-masing menerusi laporan bertajuk ‘Harga Ketum Menurun 95 peratus’ dan ‘Penduduk Terpaksa Hidu Bau Busuk Sungai Kubang Tiga’.

Asyraf juga memenangi tempat pertama bagi kategori Berita Ekonomi Terbaik menerusi laporan bertajuk ‘Kaiser Farm Sasar Perluas Pasaran Daging, Baka Lembu’ dan tempat kedua pula dimenangi Syed Azlan menerusi laporan bertajuk ‘Jualan Mentarang Perlis Mencecah RM1.05 juta Seminggu’.

Jurugambar Utusan Malaysia, Izlizan Othman meneruskan lagi penguasaan akhbar ini apabila memenangi tempat pertama bagi kategori Foto Terbaik menerusi gambar bertajuk Hujan Membawa Rezeki Kepada Pesawah dan Mohd. Hafiz memenangi tempat kedua menerusi gambar bertajuk Pesta Mentarang.

Selain itu, Mohd. Hafiz juga memenangi tempat kedua bagi kategori Rencana Terbaik dan Pelancongan, Seni dan Warisan Terbaik.

Kejayaan cemerlang itu membolehkan wartawan Utusan Malaysia, Kosmo! dan jurugambar akhbar berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing bernilai RM2,000, RM1,000, RM700, RM500 beserta trofi dan sijil penghargaan bagi setiap kategori.

Hampir 100 penyertaan untuk sembilan kategori dipertandingkan itu diadili oleh juri profesional terdiri daripada bekas Ketua Pengarang Bernama, Abdul Rahman Ahmad; Pengarang Urusan Dagangnews.com, Johardy Ibrahim yang turut berpengalaman lebih 30 tahun bersama pelbagai agensi media; bekas pemenang Anugerah Kajai, Mohd Faizal Zakaria dan pensyarah dan penyelidik Taima Academy of Journalism & Information juga menjadi juri tetap beberapa edisi anugerah Malaysia Press Institute (MPI), Chong Ling Guan.

Majlis anugerah bagi mengiktiraf media Perlis yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Perlis (PWP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin dan turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan negeri mewakil Menteri Besar, Muhammad Azmir Azizan; barisan exco, ketua-ketua jabatan dan pengamal media negeri ini.

Sebanyak sembilan penaja utama untuk anugerah berkenaan iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), DagangNews.Com, Yayasan Keluarga Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Bank Rakyat, Syarikat Air Perlis (SAP), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Pejabat Menteri Besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya