KOTA SAMARAHAN : Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) dan Pusat Kelestarian Universiti (USC) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) buat pertama kalinya menganjurkan Simposium Antara Bangsa Mengenai Persekitaran Lestari dan Komuniti Borneo (ISSECB 2023) di Dewan Syarahan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) dan Inspire Room, FSTS.
Simposium tersebut diadakan selama dua hari dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unimas Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, yang mewakili Naib Canselor Unimas .
Seramai lebih kurang 100 orang peserta daripada Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Republik Indonesia, menyertai simposium yang bertemakan ‘Memelihara dan Memulihara Alam sekitar melalui kajian ilmiah serta penglibatan komuniti di Borneo’.
Simposium tersebut dipengerusikan oleh Dr Ahmad Syafiq Ahmad Nasir, yang juga merupakan Timbalan Pengarah (Penglibatan Komuniti) USC, UNIMAS.
Menurut Dr Ahmad Syafiq, tema ini dipilih kerana ia merangkumi tanggungjawab kita bersama untuk melindungi kekayaan biodiversiti, ekosistem, dan penglibatan komuniti dalam usaha ini. Kepelbagaian biologi, ekosistem dan komuniti inilah yang mencirikan Borneo, yang dikongsi oleh tiga negara iaitu Malaysia, Republik Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Objektif utama simposium ini adalah membawa penyelidik tempatan dan antarabangsa yang menjalankan penyelidikan di Borneo, berkumpul dalam satu majlis untuk berkongsi hasil penyelidikan dan membincangkan peluang kerjasama serantau untuk kajian pada masa hadapan,” ujarnya.
Menurut Dr Syafiq lagi, simposium tersebut juga merupakan kesinambungan daripada beberapa siri program kerjasama antara Unimas dan universiti di Kalimantan, seperti Universitas Tanjungpura (UNTAN), Pontianak, Indonesia.
“Jalinan kerjasama antara FSTS, Unimas dan UNTAN misalnya, telah berjalan sejak lebih kurang 10 tahun yang lalu.
Pada tahun 2019-2023, kami telah berjaya menggabungkan para pelajar dan pensyarah kami untuk program kelestarian alam sekitar dan komuniti.
” Hubungan yang dibina ini berpotensi untuk membuka jalan untuk perkongsian penyelesaian masalah yang inovatif.
Selain itu, kami berharap agar perbincangan dan pandangan yang diperoleh semasa ISSECB 2023 ini turut dapat menyumbang kepada peningkatan pengajaran dan pembelajaran, terutamanya dengan penglibatan komuniti, sekaligus mengukuhkan asas pendidikan untuk generasi akan datang,” kata Dr Ahmad Syafiq.
Simposium ISSECB 2023 ini turut menerima kehadiran Rektor UNTAN, Professor Dr. Garuda Wiko, dan Timbalan Akademiknya, Dr. Sy. Hasyim Azizurrahman.
Profesor Dr. Garuda dalam ucapannya berkata, iIsu yang dihadapi adalah kompleks dan saling berkaitan, merangkumi perubahan iklim, penebangan hutan, pemuliharaan spesis terancam dan juga kesejahteraan komuniti tempatan yang mendiami kawasan tersebut.”
“Ia adalah cabaran yang merentas sempadan dan memerlukan kerjasama di peringkat global,” katanya.
Beliau berharap agar pertukaran pengetahuan, idea inovatif dan kerjasama antara Unimas- UNTAN dapat mencari penyelesaian yang lestari, serta memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti yang menjadikan Borneo sebagai rumah. –UTUSAN










