Undang-undang sedia ada sukar dakwa ketua sindiket dadah

Undang-undang sedia ada sukar buktikan penglibatan ketua sindiket dadah

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Undang-undang sedia ada berkaitan dadah dilihat kurang berkesan dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah terutamanya dalam pembuktian di mahkamah membabitkan penglibatan ketua-ketua sindiket haram tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mendapati ketua-ketua sindiket kegiatan dadah tidak terlibat secara langsung dalam penyeludupan dan pemilikan dadah selain modus operandi yang sentiasa berubah-ubah turut menyebabkan pihak berkuasa menghadapi kesukaran bagi membuktikan penglibatan mereka dalam kegiatan tersebut.

Katanya, meskipun pelbagai tangkapan dan rampasan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berterusan sejak Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dikuatkuasakan namun aktiviti pengedaran dadah masih berleluasa.

“Mereka yang kita tangkap adalah penagih dan pengedar dadah di bawah tapi ketua sindiket memang sukar untuk kita tangkap dan ambil tindakan.

“Sedia maklum bagi kes mengikut Seksyen 39B ADB, pembuktian dari segi pemilikannya begitu tinggi, kawalan dan penjagaan (dadah) ini sukar dibuktikan di mahkamah kerana mereka ini tidak terbabit secara langsung dalam penyeludupan dan pemilikan dadah.

“Jadi untuk kita buktikan peranan ketua sindiket ini dalam pengedaran memang sukar,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejayaan PDRM menumpaskan sindiket dadah terbesar di Sabah dengan penahanan 10 individu termasuk dalang utama bergelar datuk yang menaungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semalam.

Serbuan pukul 2.30 pagi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna.

Hasil siasatan dijalankan mendapati ahli sindiket turut terbabit dalam pelbagai aktiviti perniagaan termasuk memiliki rangkaian restoran dan syarikat besar yang menjadi sumber kewangan kepada kumpulan itu.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, modus operandi sindiket yang sentiasa berubah turut menyukarkan PDRM membanteras aktiviti haram berkenaan.

Jelasnya, kebanyakan sindiket turut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram selain membuka syarikat besar serta menjalankan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembelian aset hasil daripada penyeludupan dan pengedaran dadah.

“Ini menunjukkan mereka ada kekuatan kewangan. Susulan itulah PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengambil pendekatan baharu dalam menangani isu sindiket dadah.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Sebelum ini pun kita ada guna Sosma ke atas aktiviti gengster berkaitan dadah tapi untuk sindiket dadah sahaja, ini kali pertama guna Sosma bertujuan membanteras dan menangkap ketua sindiket,” katanya.

Beliau berharap pendekatan itu dapat mengambil tindakan terhadap hub dadah secara keseluruhan ketua sindiket, ahli, pengedar, tempat penyimpanan dan sebagainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya