Lelaki berdepan hukuman mati, didakwa edar dadah lebih 569 kilogram

Lelaki berdepan hukuman mati, didakwa edar dadah lebih 569 kilogram

CHAI Koh Chun diiringi polis dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP HABIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas lima pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan jumlah keseluruhan melebihi 569.36 kilogram (569,363.38 gram) awal Mac lalu.

Tertuduh Chai Koh Chun, 55, hanya mengangguk faham selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Tiada pengakuan direkodkan ke atas lelaki itu memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis MDMA seberat 269,382.78 gram sementara bagi pertuduhan kedua pula tertuduh didakwa mengedar dadah jenis yang sama dengan berat kasar 298,650.00 gram.

Mengikut dua lagi pertuduhan lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA masing-masing dengan berat kasar 176.42 gram dan 150.88 gram manakala satu lagi melibatkan ketamine dengan berat 1,003.30 gram.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Samarinda 5, Taman Satu Krubong, Krubong, dalam daerah Melaka Tengah sekitar pukul 4.00 petang pada 8 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membuat keputusan tiada jaminan dibenarkan ke atas tertuduh dan menetapkan tarikh 18 Jun bagi serahan laporan kimia.

Prosiding pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif tidak menawarkan sebarang jaminan manakala peguam S. Paul Krishnaraja dan Chua Yong Yi mewakili tertuduh. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN