Undang-Undang Islam: Tiada keperluan lantik bukan islam

Undang-Undang Islam: Tiada keperluan lantik bukan Islam

Peguam syariah mahu bukan Islam tidak mencampuri urusan perundangan Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk melantik pakar dalam kalangan masyarakat bukan Islam dalam membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, langkah itu tidak perlu kerana isu perundangan Islam adalah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah yang hanya terpakai kepada masyarakat beragama Islam di Malaysia.

“Lagipun, jawatankuasa ini dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, yang merupakan seorang yang amat berpengalaman luas dalam bidang perundangan, jadi saya yakin sebarang cadangan masih di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham berkata, kerajaan perlu melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk mengambil kira pandangan bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Dalam pada itu, Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, orang Islam berhak dan bebas menguruskan agamanya tanpa campur tangan daripada pihak lain.

“Jika ia menyentuh hal orang bukan Islam, mereka boleh membahaskannya di Parlimen dan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan beragama,” katanya.

Tambahnya, orang bukan Islam seharusnya menghormati kehendak orang Islam dalam menentukan segala keputusan melibatkan undang-undang dan hal ehwal agama Islam.

“Mereka tidak faham perundangan Islam, bagaimana mereka mahu menyumbang dalam jawatankuasa tersebut,” katanya.

Semalam Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh turut menyelar kenyataan Koo Ham berkenaan isu terbabit.

Katanya, undang-undang syariah adalah terpakai untuk orang Islam sahaja, maka tidak perlu dan tidak ada keperluan atas cadangan daripada Koo Ham itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN