PETALING JAYA: Lafaz pujian kepada Allah oleh individu bukan Islam dibenarkan selagi ia tidak membawa maksud pengakuan terhadap akidah Islam atau menghina agama.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, ungkapan seperti Alhamdulillah dan Insya-Allah pada hakikatnya merupakan lafaz keimanan yang merujuk kepada pengakuan serta pujian kepada Allah.
Katanya, daripada sudut bahasa serta adat, penggunaannya tidak terhad kepada orang Islam sahaja.
“Dalam masyarakat majmuk, hukum penggunaan kalimah tersebut oleh individu bukan Islam bergantung kepada konteks serta niat selaras dengan kaedah fiqh bahawa ukuran sesuatu lafaz dinilai berdasarkan niat serta maknanya, bukan semata-mata lafaz.
“Penggunaan kalimah itu dibenarkan sekiranya digunakan dengan niat baik, beradab dan menghormati makna asal, namun tidak dibenarkan jika digunakan untuk memperolok atau menyalahgunakan makna kerana boleh merendahkan kesucian agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Azam berkata, para ulama Islam secara ijmak bersetuju bahawa penilaian hukum perlu mengambil kira niat, maksud serta konteks masyarakat.
Katanya, IKIM menasihatkan umat Islam supaya mengamalkan sikap husnuzon (bersangka baik) dan berhikmah dalam isu berkenaan.
“Nabi Muhammad memahami serta mendoakan hidayah kepada bukan Muslim selagi ungkapan yang digunakan tidak menghina atau menyalahi akidah Islam.
“Masyarakat bukan Islam juga perlu dididik supaya memahami makna sebenar lafaz ketuhanan kerana pendekatan tersebut bukan sahaja dapat menjaga kesucian lafaz Allah, malah menjadi kaedah dakwah yang beradab, berhikmah dan harmoni dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Sebelum ini, ahli Parlimen pembangkang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam pada persidangan Dewan Rakyat.
Siti Zailah (PN-Rantau Panjang) menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam. – UTUSAN










