NGO Islam-Hindu cadang tubuh jawatankuasa tangani isu sensitif

NGO Islam-Hindu cadang tubuh jawatankuasa tangani isu sensitif

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta India dan Hindu di negara ini mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa bersama oleh kerajaan bagi membincangkan dan mencari penyelesaian terhadap isu sensitif melibatkan rumah ibadat secara lebih harmoni dan terkawal.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, cadangan itu dicapai hasil perbincangan damai antara NGO terbabit bertujuan mengelakkan ketegangan berpanjangan yang boleh menggugat keamanan negara.

Katanya, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan sebarang isu sensitif ditangani secara tertutup tanpa provokasi pihak ketiga.

“Apa yang dipersetujui adalah kami bersama mendesak satu jawatan kuasa bersama ditubuh oleh kerajaan bagi berdialog dan membincangkan penyelesaian isu isu sensitif secara tertutup dan bebas dari provokasi pihak ketiga.

“Kami tidak membincangkan kes secara spesifik kerana itu akan dilakukan oleh jawatankuasa tersebut. Apa yang dipersetujui adalah untuk berdamai,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook miliknya hari ini.

Semalam, media melaporkan beberapa NGO mewakili masyarakat Melayu dan India mengadakan sesi dialog di Putrajaya bertujuan mencari jalan perdamaian melalui rundingan bagi menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata, pendekatan damai itu tidak bermaksud pihaknya berkompromi atau tunduk kepada sebarang tuntutan yang bercanggah dengan undang-undang.

Katanya, semua rumah ibadat perlu mematuhi peraturan ditetapkan dan tindakan boleh diambil sekiranya gagal berbuat demikian, namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhemah.

“Adakah kami kompromi dan tunduk kepada tuntutan? Tidak. Kami tegaskan dan bersetuju bahawa semua rumah anutan mestilah mengikut undang-undang.

“Pada saya perbincangan dibuat dengan penuh harmoni dan beradab. Kita mahu mengorak langkah seterusnya untuk Malaysia yang lebih aman.

“Ketahuilah kita tidak tunduk kepada tekanan. Prinsip asas masih utuh kami pegang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN