Jakim perkenal model seragam undang-undang Islam

Jakim perkenal model seragam undang-undang Islam

SIRAJUDDIN SUHAIMEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperkenalkan model keseragaman undang-undang Islam bagi memberi panduan kepada negeri-negeri dalam menangani kes-kes melibatkan isu perbezaan enakmen antara negeri.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Srajuddin Suhaimee berkata, inisiatif ini telah pun dipersetujui oleh pihak Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta mendapat perkenan Majlis Raja-Raja demi memastikan pentadbiran undang-undang Islam di negara ini lebih seragam.

Beliau berkata, isu ketidakseragaman sebelum ini sering menjadi halangan besar kepada kelancaran proses perundangan dan penyelesaian isu-isu rakyat di mahkamah.

“Model tersebut bukanlah bertujuan mengambil alih kuasa agama yang terletak di bawah bidang kuasa negeri, sebaliknya bertindak sebagai satu kerangka penyelarasan yang dipersetujui bersama demi kepentingan ummah.

“Proses pembangunan model ini dianggap sebagai satu pencapaian besar dalam diplomasi perundangan kerana berjaya mengharmonikan pandangan antara peringkat Persekutuan dan pihak berkuasa agama negeri,” katanya menerusi Program Temubual Khas Bersama Pengarang Kanan Agensi Media, di sini hari ini.

Sirajuddin berkata, langkah strategik ini merupakan antara agenda utama di bawah hala tuju ‘Islah’ dan ‘Tajdid’ Jakim menjelang tahun 2026 bagi memastikan sistem keadilan syariah tidak lagi terbeban dengan isu perbezaan enakmen antara negeri.

Jelas beliau, beberapa model undang-undang yang disediakan Jakim antaranya meliputi kekeluargaan dan pentadbiran Islam yang telah digunakan oleh Wilayah Persekutuan.

“Sebelum ini (negeri) agak kurang hendak terima namun selepas pembentangan di mesyuarat MKI baru-baru ini, alhamdulillah ia diterima dengan mudah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kekangan yang dihadapi oleh golongan peguam syarie untuk mengendalikan kes di luar negeri tempat mereka ditauliahkan bakal dinokhtahkan apabila ia turut menjadi fokus jabatan itu dalam usaha penyeragaman undang-undang.

Beliau berkata, Jakim akan mewujudkan satu klausa di dalam enakmen negeri bagi membolehkan peguam syarie diterima di semua negeri.

Menerusi mekanisme baharu ini, beliau berkata, peguam syarie yang ditauliahkan di satu negeri bakal mendapat pengiktirafan untuk beramal di negeri lain tanpa perlu melalui proses birokrasi pendaftaran yang rumit dan berulang.

Beliau menambah, langkah ini sangat penting bagi membantu rakyat menjimatkan kos guaman kerana mereka tidak lagi perlu membayar dua peguam berbeza untuk menguruskan satu kes yang sama.

“Sebagai contoh dalam kes tuntutan nafkah, isteri di Kelantan dan suami pula di Johor. Mereka hendak guna khidmat peguam mana?

“Perkara inilah yang cuba kita noktahkan. Kita sedang usahakan agar wujud satu klausa khusus dalam enakmen negeri bagi membolehkan ‘penerimaan silang’ atau cross-acceptance antara negeri-negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN