KUALA LUMPUR: Prinsip syariah berkaitan tanggungan ganti rugi seperti Dhaman, Diyah dan Arsy boleh dijadikan asas dalam mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, prinsip berkenaan dilihat selari dengan usaha kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi menyediakan mekanisme pampasan yang lebih cepat dan berkesan.
Beliau berkata, PGSM menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri untuk meminda Akta 333 kerana langkah itu bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah mempunyai asas dalam prinsip keadilan Islam.
“Dalam Islam, prinsip Dhaman iaitu tanggungan ganti rugi ke atas seseorang yang menyebabkan kerugian atau kecederaan kepada orang lain akibat kecuaian atau kesalahannya bertanggungjawab membayar ganti rugi atau Diyah dan Arsy dalam kes kematian atau kecederaan.
“Prinsip-prinsip ini boleh diterjemahkan dalam penggubalan rang undang-undang pindaan Akta 355 tersebut.
“Pihak kami juga bersedia menyumbang kepakaran kami bagi memastikan penggubalan rang undang-undang pindaan kepada Akta 333 dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Musa, isu pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau perlumbaan haram yang menyebabkan kemalangan maut serta kecederaan serius memerlukan tindakan undang-undang lebih tegas.
“Isu pemandu di bawah pengaruh alkohol atau khayal dengan dadah atau berlumba di jalanraya sering menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa di jalanraya, atau menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa.
“Maka, perlu ada suatu undang-undang tegas yang bukan sahaja dapat memberikan keadilan yang pantas kepada mangsa atau keluarga mangsa tanpa perlu melalui proses sivil yang panjang dan berlarutan, malah dapat memberikan kegerunan dan pencegahan kepada masyarakat yang lain,” katanya. – UTUSAN










