PETALING JAYA: Tujuh rakyat negara ini yang diburu polis kerana disiasat berhubung pelbagai isu termasuk perkauman selain terlibat dengan jenayah, didapati ‘berlindung’ di negara asing.
Mereka yang dicari ialah dua penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin dan Alvin Tan atau Tan Jye Yee; pengasas ajaran sesat Si Hulk iaitu Suhaini Muhammad serta usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat.
Tiga lagi ialah bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, N.Ganesparan dan aktivis politik, Ali Abu Jalil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semua individu itu disiasat di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kata beliau, mereka dikehendaki untuk siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana antaranya lantang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi diraja dan kerajaan.
“Siasatan kebanyakannya di bawah Kanun Keseksaan seperti Sesyen 298, 298A, 500, 504, 505(b) dan 505(c). Mereka ‘melarikan diri’ ke negara luar dan memilih berlindung di sana,” katanya di sini semalam.
Razarudin berkata, Raja Petra kini dikesan berada di Manchester, England selepas menghilangkan diri dari negara ini sejak 2009.
Alvin Tan pula dikesan berada di California, USA selain Suhaini di New Zealand.
“Berdasarkan maklumat kita peroleh Nur Sajat dan Sirul Azhar pula masing-masing berada di Australia.
“Berlindung di Hamburg, Jerman ialah N. Ganesparan yang mempunyai 20 kes terhadapnya sejak 2018 di bawah Akta Hasutan 1948 dan aktivis politik, Ali Abu Jalil yang mempunyai 40 kes melibatkan akta sama,” katanya.

Menurut beliau, ada antara mereka dikesan melakukan kesalahan di negara ini sebelum melarikan diri selepas komen mereka dalam dalam media sosial ditularkan.
Kata beliau, tindakannya dipercayai atas nasihat pihak-pihak tertentu.
“Dalam keadaan ini tiada sekatan dapat dibuat oleh Jabatan Imigresen dengan alasan freedom of movement,” ujarnya.
Razarudin berkata, tiada data yang tepat untuk negara mana sering menjadi pilihan golongan ini walaupun semakan dengan Jabatan Imigresen telah dibuat.
“Justeru tiada negara khusus yang menjadi pilihan untuk melarikan diri. Ada daripada mereka ini sudah pun menetap di negara tersebut dan berkemungkinan memohon status berlindung,” katanya.
Katanya, mereka berlindung dan kebal dari segi perundangan di negara asing kerana kesalahan yang dilakukan adalah berdasarkan kebebasan bersuara.
Malah, katanya, ekspresi negara berkenaan juga tidak mengiktiraf beberapa kesalahan yang disiasat di Malaysia kerana tiadanya proses dual criminality.
“Proses ekstradisi juga kerap menjadi kekangan walaupun usaha pernah di buat oleh Jabatan Peguam Negara.
“Cubaan permohonan notis merah bagi N. Ganesparan dan Alvin Tan tidak dibenarkan oleh General Secretariat atas alasan bertentangan dengan Artikel perundangan dan perlembagaan Polis Antarabangsa (Interpol) yang melarang sama sekali bagi mereka untuk melakukan apa-apa campur tangan atau aktiviti yang bersifat politik, ketenteraan, agama atau perkauman.
“Namun, kesemua suspek tetap dimasukkan dalam senarai dikehendaki (RJ10) dan tindakan siasatan diteruskan jika terdapat maklumat atau suspek dikesan balik ke Malaysia. Jabatan Imigresen juga telah dimaklumkan berhubung perkara ini,” katanya. – UTUSAN










