LANGKAWI: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu bergerak seiring dengan perkembangan pesat dalam aspek kemajuan teknologi untuk armada itu kekal relevan bagi mempertahan kedaulatan perairan negara.
TLDM dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan lanskap geostrategik yang semakin mencabar ketika ini, mereka memainkan peranan sangat penting dalam konteks pertahanan maritim.
“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin mengenai kesiapsiagaan daripada aspek ketersediaan platform, kekuatan tempur dan keberkesanan sokongan logistik.
“Bagaimanapun, keusangan dan kemajuan teknologi yang berkembang pesat perlu disemak secara konsisten bagi memastikan kekuatan armada TLDM kekal relevan dalam mempertahan kedaulatan perairan,” katanya di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, TLDM memaklumkan, dua buah misil Exocet MM40 yang dilancarkan KD Lekiu sempena Eksesais Taming Sari Siri 22/2023, semalam menandakan kesiapsiagaan mereka dalam menjaga kedaulatan negara.
Penembakan yang berlangsung di perairan Utara Selat Melaka, di sini juga menguji keupayaan dan kesiapsiagaan sistem peluru berpandu di kapal serta tahap kompetensi warga TLDM.
“Berkonsepkan Force Integration Training (FIT), aspek kebersamaan dipamerkan dalam eksesais ini melibatkan 14 kapal, lapan bot dan 12 pesawat milik TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya.
Tetamu khas yang juga bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini Menteri Luar turut menyaksikan kejayaan penembakan dua misil tersebut yang tepat ke sasaran dari platform KD Mahawangsa.
Yang hadir sama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.
Eksesais yang bermula sejak 4 Disember lalu terbahagi kepada empat fasa iaitu Pelabuhan, Pembersihan Kawasan dan Raptai Penembakan, Hari Penembakan dan fasa penutup.
Pelbagai aktiviti untuk persediaan di laut dilaksanakan pada Fasa Pelabuhan di Pangkalan TLDM Lumut meliputi Majlis Pembukaan, Taklimat Eksesais, Perbincangan Pegawai Operasi, Table Top Exercise (TTX) dan Taklimat Pra-Pelayaran.
Selain KD Lekiu, sebuah lagi aset milik TLDM iaitu KD Lekir diletakkan sebagai kapal penembak simpanan ketika eksesais itu sambil dibantu pesawat pejuang F/A 18D dan aset-aset lain. – UTUSAN










