KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir mempunyai mekanisme tersendiri dalam mengurus tekanan emosi yang dihadapinya, sekali gus menunjukkan tekanan tersebut tidak semestinya berkembang menjadi gangguan kebimbangan.
Pakar psikologi kanak-kanak, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, mangsa didapati menyalurkan tekanan menerusi penulisan diari serta membuat tanda berbentuk kod bar yang disifatkannya sebagai antara mekanisme daya tindak terhadap tekanan emosi yang dialami.
Menurutnya, tekanan hanya menjadi negatif apabila seseorang individu tidak mempunyai jalan penyelesaian atau mekanisme untuk mengatasinya.
“Tekanan negatif berlaku apabila seseorang individu tidak mempunyai penyelesaian untuk mengatasi tekanan itu. Disebabkan tiada penyelesaian, kebimbangan akan berlaku.
“Jika seseorang mempunyai cara untuk mengatasi tekanan, maka tekanan itu adalah positif dan tidak boleh dikategorikan sebagai kebimbangan,” katanya ketika memberi keterangan pada hari ke-80 prosiding inkues kematian pelajar berusia 13 tahun itu di Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Saksi pendakwaan ke-76 itu memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menjawab soalan peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa, Dr Noor Aishah berkata, antara faktor yang menyebabkan Zara Qairina tertekan ialah hubungan dengan rakan-rakan di sekelilingnya.
Beliau berkata cara seseorang rakan melayan rakannya boleh menjadi punca tekanan sehingga mendorong mangsa menggunakan tanda kod bar sebagai mekanisme mengatasi tekanan berkenaan.
Pakar turut bersetuju bahawa tekanan dialami Zara Qairina boleh dianggap sebagai tekanan positif kerana mangsa mempunyai mekanisme untuk menguruskannya, termasuk menulis diari.
Dalam pada itu, Dr Noor Aishah berkata, seseorang yang memilih untuk memendam perasaan tanpa menyelesaikan masalah berdepan risiko tekanan berkembang menjadi kebimbangan dan kemurungan.
“Pendekatan terbaik ialah menyelesaikan masalah itu. Memendam perasaan boleh berkembang menjadi kebimbangan dan kemurungan,” katanya.
Sementara itu, beliau tidak bersetuju dengan pandangan pakar perunding forensik psikiatri, Dr. Chua Sze Hung sebelum ini bahawa tingkah laku menyembunyikan keadaan sebenar, menyesuaikan diri secara berlebihan dan memendam perasaan adalah perkara lazim dalam kalangan remaja yang mengalami tekanan psikologi.
Menurutnya, tingkah laku masking bukan sesuatu yang biasa dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, sebaliknya lebih berkemungkinan berlaku dalam kalangan individu berfungsi tinggi yang mengalami autisme. – UTUSAN








