Tanah runtuh: Tanam 375 cerucuk besi kawal pergerakan tanah

Tanah runtuh: Tanam 375 cerucuk besi kawal pergerakan tanah

 AA Anbalagan (empat dari kanan) bersama Pegawai Daerah dan Tanah Petaling, Rahilah Rahmat (lima kanan) melawat ke lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Proses menanam cerucuk besi dan kerja pembaikan cerun di lokasi tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, Puchong di sini dijangka mengambil masa dua minggu untuk diselesaikan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, kerja pembaikan itu dilaksanakan kontraktor dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Kata beliau, sebanyak 375 cerucuk besi dipasang di sekitar 150 meter persegi kawasan runtuhan.

“Kerja-kerja berkenaan dilaksanakan sejak pukul 4 pagi ini dan diteruskan sehingga tiada lagi pergerakan tanah dikesan.

“Selepas itu, kawasan yang terjejasditutup sementara dengan kanvas bagi memastikan tiada air masuk ke dalam tanah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Kata beliau, bekalan air dan elektrik di sembilan kediaman yang terjejas juga  ditutup sementara waktu.

“Tindakan penutupan dilakukan  Air Selangor kerana paip bawah tanah didapati pecah dan dibimbangi menjejaskan lagi tanah di kawasan itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anbalagan memberitahu, kawalan keselamatan polis juga akan dipertingkat di lokasi yang terjejas.

“Pemilik rumah yang mahu pulang ke kediaman mereka untuk ambil dokumen penting perlu memaklumkan kepada polis bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini termasuk kecurian harta benda,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling Jaya, Rahila Rahmat berkata, pemeriksaan akan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah di lebih 17 kediaman di Jalan Wawasan 3/9 termasuk rumah yang terjejas bagi mengesan sekiranya ada keretakan di dinding mereka.

Ujar beliau, setakat ini, hasil laporan Jabatan Jabatan Mineral dan Geosains Selangor mendapati tiada pergerakan tanah dikesan.

“Namun, kita akan lakukan pemeriksaan di kediaman yang ada di sini bagi melihat sama ada terdapat tanda-tanda lain.

“Diharap penduduk dapat beri kerjasama  membenarkan pegawai berkenaan masuk ke rumah mereka bagi melakukan pemeriksaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN