RANTAU PANJANG: Ratusan penduduk termasuk orang luar dari daerah ini menjadikan persimpangan lampu isyarat berhampiran stesen minyak Petronas di sini sebagai ‘taman tema air terbuka’ selepas kawasan itu ditenggelami banjir sejak kelmarin.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai mengambil kesempatan untuk bermain air selepas kawasan itu ditenggelami banjir sedalam 0.3 meter sehingga berlaku kesesakan di sepanjang laluan tersebut.
Pada masa sama, peniaga turut mengambil kesempatan mencari rezeki dengan berniaga makanan ringan kepada penduduk dan pengunjung yang datang untuk bermain air.
Seorang pengunjung, Hanis Najwa Mohamad, 30, berkata, dia datang membawa anak-anak untuk bermain air selepas tertarik dengan rakaman video yang tular berkaitan dengan pesta banjir di Rantau Panjang.
“Ini kali pertama saya datang ke sini. Semalam (kelmarin) nampak meriah orang ramai bermain air, jadi hari ini saya datang sendiri untuk melihat suasananya.
“Walaupun air sudah surut sedikit, namun suasana tetap meriah apabila masih ramai yang mengambil kesempatan bermain banjir,” katanya.
Bagi seorang lagi pengunjung, Yana Che Mazlan,21, memberitahu, setiap kali banjir kawasan ini akan menjadi tumpuan orang ramai termasuk masyarakat luar untuk bermain air.
Katanya, paras air yang cetek tidak membahayakan namun pemantauan tetap perlu dilakukan oleh ibu bapa. –UTUSAN










