JERANTUT: Seorang wanita di Felda Kota Gelanggi Dua di sini berdepan ujian cukup besar apabila bukan sahaja perlu menjaga suami yang menderita sakit saraf dan hati malah berdepan situasi kediaman yang semakin uzur terutama atap bocor serta dimasuki air setiap kali hujan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, suri rumah terbabit, Maziah Yahya, 43, berkata, ujian besar terpaksa ditempuh apabila suaminya, Mohamad Nazeri Ghazali, 48, diserang penyakit saraf dan hati sejak 2021 sekali gus menyebabkan ketua keluarga terbabit tidak lagi mampu bekerja kerana pergerakan terbatas dan terpaksa dipapah.
“Ekoran penyakit menimpanya, suami saya berhenti kerja sebagai pekerja ladang di sebuah Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Tekam, Jerantut pada awal 2021 dan sehingga kini cuma tinggal di rumah.
“Suami memperoleh pampasan daripada pihak pengurusan tempatnya bekerja namun sudah habis digunakan untuk rawatan di sebuah hospital swasta termasuk belanja berulang alik di hospital kerajaan untuk rawatan susulan,” katanya di sini semalam.
Menurut Maziah, anggota badan suaminya lemah, tidak mampu bergerak dan berdiri lama serta gangguan suara ketika bercakap akibat penyakit saraf yang dialaminya sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Ibu kepada tiga orang anak yang berusia 10 hingga 21 tahun dan masih belajar itu berkata, selepas berhenti kerja, suaminya pernah mengeluarkan baki wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM5,000, namun tidak mencukupi. Dia berkata, selepas selesai menguruskan kebajikan suami dan persekolahan anak, dia bekerja di sebuah kedai makan pada sebelah petang untuk memperoleh pendapatan menampung belanja persekolahan, barang keperluan dapur dan perubatan suami serta bayaran bil mencecah RM2,500 sebulan.
“Suami saya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 awal tahun ini dan sumbangan barang keperluan dapur daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sebanyak RM200 bolehlah sedikit bertahan sehingga pertengahan bulan. Saya berterima kasih kepada JKM dan Muip.
“Namun bantuan ini masih tidak mencukupi kerana belanja persekolahan, tambahan barang dapur, perubatan suami termasuk keperluan kebersihan diri memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya.
Selanjutnya Maziah berharap ada pihak yang boleh membantu sekurang-kurangnya untuk perbelanjaan mengubati penyakit suaminya dan membaik pulih kerosakan rumahnya.
Orang ramai yang ingin mrnyumbang boleh menghubungi Maziah di talian 017-9582698 atau sumbangan terus ke akaun Bank Rakyat bernombor 220031381284 (Mohamad Nazeri Ghazali). -UTUSAN










