Jatuh cinta kerana personaliti, belum fikir kahwin -Anna Jobling - Utusan Malaysia

Jatuh cinta kerana personaliti, belum fikir kahwin -Anna Jobling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Anna Jobling mengakui belum bersedia membawa hubungan cintanya dengan selebriti Indonesia, Karel Susanteo ke fasa lebih serius.

Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, berkata, jadual kerjaya seni yang padat menyebabkan dia belum mahu memikirkan soal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Saya rasa semua orang sudah tahu mengenai hubungan kami. Saya tiada apa-apa lagi hendak diperkatakan, cuma doakan yang baik-baik sahaja untuk saya.

“Buat masa ini, saya mahu fokus kepada kerjaya kerana masa tidur pun tidak cukup. Jadi, tidak perlulah terburu-buru,” katanya.

Anna berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan eksklusif drama Yes! Captain Zul Aaryan di TGV KLCC, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anna mengakui tidak keberatan berkongsi mengenai hubungan mereka secara terbuka selain menyifatkan personaliti Karel sebagai faktor utama yang berjaya menambat hatinya.

“Apa yang membuatkan saya tertarik? Personaliti dia. Itu sahaja,” katanya ringkas.

Sebelum ini, menerusi video yang dimuat naik Karel di media sosial, Anna dilihat terbang ke Jakarta bagi memberi sokongan kepada kekasihnya yang menyertai pertandingan kecergasan HYROX Jakarta, baru-baru ini.

Terdahulu, hubungan Anna dan Karel menjadi bualan hangat netizen selepas beberapa foto serta hantaran romantis di media sosial menjadi tular sehingga mencetuskan spekulasi kedua-duanya sedang menjalin hubungan cinta.

Berkongsi perkembangan kerjaya, Anna bakal membawakan watak Zara Andrea menerusi drama terbaharu, Yes! Captain Zul Aaryan yang diadaptasi daripada novel popular dengan judul sama.

“Selepas tahu saya akan membawa watak Zara Andrea, saya terus membeli novel itu dan membacanya untuk mengetahui mengapa karya ini mempunyai begitu ramai peminat.

“Apabila membacanya, saya faham mengapa novel ini begitu diminati kerana jalan ceritanya sangat menyeronokkan.

“Cabaran terbesar saya ialah membawakan watak itu dengan sebaik mungkin supaya tidak mengecewakan pembaca.

“Banyak karya adaptasi sebelum ini menerima pelbagai reaksi kerana penonton merasakan ada pelakon yang tidak sesuai dengan watak. Sebab itu saya cuba meletakkan diri dalam karakter tersebut dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Drama 30 episod Yes! Captain Zul Aaryan turut dibintangi Jazmy Juma, Nafiz Muaz, Daniel Fong dan Natasha Sass. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN